Hafiz & Effy
Hafiz & Effy
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal Hafiz Suip, 25, mengaku cincin yang tersarung di jari manis kirinya itu adalah tanda dia sudah merisik teman wanitanya pada 21 Disember lalu.

Hafiz atau Mohd Hafiz Mohd Suip berkata, majlis pertunangan dengan kekasihnya yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Effy’, 22, itu bakal berlangsung pada 27 Februari depan.

“Saya sebenarnya memang tiada niat pun untuk menyembunyikan perkara ini. Jadi, biarlah sekarang saya mengaku semuanya.

“Insya-Allah, saya dan Effy akan mengikat tali pertunangan pada 27 Februari ini di sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

“Apapun, saya lebih dulu menghantar rombongan merisik ke rumah Effy yang juga orang Kuching, pada 21 Disember lalu.

“Tarikh 27 Februari itu menjadi pilihan kami kerana ia tarikh ulang tahun kelahiran saya. Jadi, mudahlah untuk saya mengingati hari bahagia itu,” katanya.

Terdahulu, Hafiz bersama beberapa rakannya seperti Aril, Hazama, Firman Bansir dan Faizul Sany hadir dalam majlis sidang media pelancaran Hafiz & Friends Showcase di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, petang tadi.

Enggan mendedahkan secara terperinci identiti bakal tunangnya itu, Hafiz berkata, tindakan itu dilakukan sebagai menghormati permintaan Effy serta keluarga mereka.

Hafiz berkata, mereka mungkin akan berkahwin pada pertengahan 2016 dan keputusan itu dibuat berikutan Effy masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 9:12 PM