Kapalua, AS: Penyandang juara, Zach Johnson (gambar) melakukan tujuh birdie enam bawah par 67 semalam untuk berkongsi kedudukan teratas bersama tiga lagi pemain pada Kejohanan Juara-Juara Jelajah PGA Amerika Syarikat.

Usaha Johnson membolehkannya mengumpul 11 bawah par 135 untuk menyertai pendahulu pusingan pertama Russell Henley, Bae Sang Moon dan Jimmy Walker.

Henley melakukan tiga bawah par 70, diikuti Walker 68 dan Sang Moon pula membenam empat birdie tanpa melakukan bogey untuk catatan empat bawah par 69 di Plantation Course di Kapalua.

Johnson cuba muncul pemain pertama mempertahankan kejuaraan pada kejohanan itu sejak pemain Australia, Geoff Ogilvy melakukannya pada 2009 dan 2010.

Johnson yang juga juara Terbuka Sony 2009 di Hawaii berkata, dia suka dengan cabaran angin pulau di kejohanan itu.

“Apabila anda perlu berdepan dengan cabaran angin, ia sama saja seperti mengawal bola ketika berada di udara. Saya suka aksi golf seperti ini,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 6:33 AM