Los Angeles: Juara bertahan, Patrick Reed (gambar) membenam eagle di lubang ke-18 bagi memintas pemain nombor satu dunia, Jordan Spieth dan mengetuai pemain lain pada pusingan pertama Kejohanan Jelajah Juara AS PGA di Hawaii.

Reed yang enam kali menempatkan diri dalam kelompok 10 teratas sepanjang tahun lalu, mencatat enam di bawah par di enam lubang terakhir bagi membolehkannya menduduki senarai teratas saingan dengan lapan di bawah par 65 di lapangan Plantation di Kapalua.

Spieth yang bermula baik dalam usaha mengekalkan kecemerlangan 2015, mencatat birdie di lubang terakhir untuk mengumpul 66 pukulan.

Kedua-duanya bersaing untuk mengatasi pemain lain ketika tiba di lubang par 5 terakhir dengan Reed berjaya meletakkan bola di green pada pukulan kedua.

Pemain New Zealand Danny Lee menamatkan saingan hari pertama pada kedudukan ketiga bersama Brandt Snedeker dan JB Holmes dengan 67 pukulan diikuti Fabian Gomez di tangga keenam (68).

Spieth yang menamatkan 2015 dengan lima kemenangan, dua daripadanya kejohanan utama, membenam birdie dari jarak 30 kaki di lubang kedua sekali gus membayangkan dia bakal sukar digugat tahun ini.

“Saya tidak mengambil masa panjang untuk kembali mendapat rentak tapi perlu menumpukan lebih perhatian,” kata Spieth yang memenangi Masters dan Terbuka AS tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:03 AM