KANE (kanan) jaring gol pembukaan buat Spurs. -Foto EPA
KANE (kanan) jaring gol pembukaan buat Spurs. -Foto EPA
AFP

LONDON: Jurgen Klopp berjanji untuk ‘memperbaiki’ masalah pertahanan yang kronik selepas Liverpool tumbang 4-1 di Tottenham Hotspur sekali gus menyaksikan The Reds ketinggalan 12 mata dalam pemburuan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Spurs mengeksploitasi kelemahan pertahanan Liverpool di Wembley, dengan Harry Kane meledak dua gol untuk anak didik Mauricio Pochettino menyamai mata Manchester United di tangga kedua.

Liverpool kini sudah bolos 16 gol - statistik terburuk mereka di peringkat ini sejak tahun 1964 - dan Klopp berkata pasukannya perlu melupakan keinginan untuk mencabar gelaran liga selagi tidak menyelesaikan masalah ini.

“Kami tidak perlu bercakap mengenai kelompok empat teratas. Kami di kedudukan tangga kesembilan,” kata pengurus Liverpool itu.

“Ini adalah statistik terburuk kami sejak tahun 1964. Sukar untuk mempercayainya. Kami berada di tempat sepatutnya, dan berhak ke atasnya. Kami perlu membuktikan bahawa kami boleh bertahan dengan lebih baik berbanding persembahan hari ini.

“Kami melepaskan jaringan besar dalam tiga aksi dengan Watford (3-3), Manchester City (5-0) dan hari ini. Semuanya 12 gol kami sudah bolos. Ia adalah gila.

“Satu-satunya cara untuk kami memperbaikinya adalah dengan kekal kuat dan bekerja untuknya. Saya tidak boleh memperbaikinya di sini, tetapi saya janji akan atasi masalah ini.”

Klopp mendakwa jaringan pertama Spurs - apabila Kane meloloskan diri di belakang empat pertahanan sebelum mengatasi penjaga Liverpool Simon Mignolet - tidak akan berlaku sekiranya dia berada di dalam padang.

Kane membuka tirai jaringan seawal minit keempat dan kemudian mengumpan kepada Son Heung-Min untuk gol kedua, lapan minit kemudian selepas kegagalan Dejan Lovren mengeluarkan bola lambungan jauh Hugo Lloris.

Mohamed Salah merapatkan kedudukan buat The Reds sebelum ledakan Dele Alli dan Kane - kedua-duanya berpunca daripada kesilapan pertahanan - untuk memastikan kemenangan selesa buat Spurs.

Bagaimanapun, Klopp tetap mempertahankan Lovren yang digantikan pada minit ke-31 kerana persembahan buruknya itu.

“Saya juga perlu bertanggungjawab di atas kekalahan ini,” kata Klopp. “Ia tidak membawa perbezaan besar. Kerana selepas dia ditukarkan kami masih melepaskan dua gol.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 10:55 AM