Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei (gambar) enggan ambil pusing kehadiran Chen Long di Kejohanan Dunia selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memberikan tiket wild card kepada juara bertahan itu untuk membolehkannya beraksi di Glasgow, Scotland, Ogos ini.

Tegas Chong Wei, teorinya mudah - jika mahu memenangi Kejohanan Dunia - dia perlu bersedia berdepan sesiapa saja termasuk Chen Long yang mengecewakannya pada final temasya Sukan Olimpik Rio, tahun lalu.

Chen Long juga menjadi pemain yang menewaskan Chong Wei di final Kejohanan Dunia di Jakarta, Indonesia, dua tahun lalu.

Kehadiran Chen Long menyaksikan China mempunyai empat wakil diketuai sensasi dunia Lin Dan, Tian Houwei serta Shi Yuqi yang layak secara merit.

“Satu perkara yang perlu diingat adalah jika anda mahu memenangi Kejohanan Dunia, maka anda perlu berdepan semua pemain.

“Saya agak terkejut juga apabila BWF beri wild card kepada Chen Long kerana kita tahu tiga pemain China sudah layak secara merit.

“Tapi apapun saya tetap terima keputusan BWF. Kita tidak boleh buat apa-apa.

“Bagi saya paling penting fokus terhadap persiapan diri sendiri,” kata Chong Wei ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara semalam.

Mengulas mengenai dua kekalahannya kepada Lin Dan bulan lalu, di final Terbuka Malaysia serta separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC), Chong Wei mengakui dia tidak berada di tahap terbaik ketika itu.

“Saya perlu berbincang semula dengan jurulatih apakah kelemahan yang perlu di atasi dalam dua perlawanan itu. Sebab saya lihat Lin Dan juga ada strategi baru.

“Untuk saya, fokus utama adalah untuk terus melakukan persiapan rapi ke Kejohanan Dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:22 AM