Rasanya menimbun emel yang diterima MURSHID EUNOS mengenai gadis-gadis yang mengadu mengenai teman lelaki mereka jenis tak pandai menghargai. Bukan ingin menyebelahi sesiapa tapi rasanya golongan lelaki bukanlah zalim sangat kalau kamu sudah kenal mereka sedalam-dalamnya.

Faktanya, lebih ramai golongan perempuan yang lebih senang untuk berkawan dengan kawan lelaki berbanding gadis kerana lelaki dikatakan lebih terbuka, telus dan tiada perasaan untuk bersaing. Ini terbukti kerana ramai gadis yang mempunyai kawan baik mereka daripada golongan lelaki.

Lebih separuh daripada itu, mereka kemudiannya menjalin cinta selepas selesa menjadi sahabat untuk jangka masa tertentu.

Namun tidak kurang juga golongan perempuan yang merungut kerana sikap lelaki lekas berubah selepas beberapa ketika bercinta. Mereka lebih kurang romantik, sukar difahami, ada kalanya pentingkan diri sendiri dan tidak lagi melayan seperti minggu pertama bercinta.

Bayangkan, banyak emel yang diterima Gen Y berkongsi masalah sama. Mereka (gadis) kecewa kerana si kekasih masing-masing sudah tidak lagi hangat seperti awal bercinta. Itu baru bercinta dan belum lagi berkahwin. Kalau sudah berkahwin rasanya perasaan cinta itu hanyut perlahan-lahan hingga hilang keseluruhannya.

Gen Y tidak mahu berat sebelah dalam berkongsi beberapa fakta bersama kawan-kawan tapi rasanya lebih menarik kalau sedikit petua untuk memahami golongan lelaki diberikan kali ini kepada kamu semua golongan gadis yang inginkan jawapan.

Bukannya kekasih kamu sudah tawar hati atau sudah memiliki kekasih lain, tapi itulah lumrah lelaki yang jarang sekali menunjukkan rasa cinta mereka tapi jauh di dalam hati, hanya kamu seorang saja yang dicintainya dan tiada mungkin keduanya.

Lelaki itu sifatnya mudah bertolak ansur, lebih telus dalam persahabatan dan tidak menyimpan perasaan terhadap sesuatu perkara. Tapi dalam soal cinta dan perhubungan serius yang menyangkut soal hati, kalau kamu pandai menelusuri hati mereka, sebenarnya jalan menuju kebahagiaan lebih mudah.

Keanak-anakan

Jika kamu ingin mencari cinta sejati, kamu sendiri harus mengenali hati dan keperibadian mereka agar hubungan itu lebih mudah. Macam mana?

Cuba fahami mereka melalui sikap dan karakter tanpa perlu desak apatah lagi kerap merajuk. Mana-mana lelaki pun lama-lama bosan dengan sikap kamu jika terus begitu kerana mereka menyifatkan kamu keanak-anakan dan tidak matang untuk dijadikan isteri.

Jika kamu bertanya kepada mereka sama ada mereka cintakan kamu ataupun tidak selepas setahun perhubungan, mereka akan menjawab, "ya, saya cintakan awak". Tapi hakikatnya, mereka masih ada beberapa jawapan lain untuk soalan itu termasuk; "Ya, rasa-rasanyalah", "Mestikah saya berkata begitu agar kamu rasa senang hati?", "Bergantunglah apa maksud cinta pada pandangan awak", "Penting sangatkah?" ataupun paling menyakitkan hati apabila mereka bertanya semula seperti "Siapa, saya?".

Kamu tidak perlu meminta pendapat jujur mengenai diri kamu dan kamu tidak payah minta dia memberi pujian kamu kekasihnya atau gadis paling menarik di dunia ini. Ini kerana apabila terlihat perempuan cantik di hadapannya, dia mungkin merenung hingga terbeliak biji mata.

Itu lumrah dan jangan sekali kamu ubah realiti itu.

Ada juga sesetengah lelaki tidak suka aturan hidupnya dirancang kerana baginya, biarlah takdir menentukan. Keadaan jadi lebih teruk jika pasangan cuba merancang segala tindakannya. Jika lelaki pilihan kamu tidak gemar kehidupannya ditentukan, kaji dulu tabiatnya sebelum kamu mengutarakan sebarang cadangan.

Perlu diingat, lelaki tidak suka dipaksa atau diubah.

Lelaki yang gemar merokok pasti mendapatkan habuannya sebatang dua setiap kali selepas makan dan jangan pula kamu sibuk menentukan gaya hidupnya dengan cara memaksa kerana mungkin sekali dua boleh diikut namun bukan kerap kali.

Mencabar ego

Lelaki tidak berapa suka membincangkan isu pertengkaran dengan pasangannya. Jika dia mahu duduk berbincang, ia hanya sebentar dan dengan segera mahu menutup perbincangan. Beberapa hari berikutnya, dia akan buat-buat lupa. Ini kerana lelaki tidak gemar untuk memeningkan kepalanya dengan perkara yang dipandang remeh.

Ada tiga perkara yang boleh membuat lelaki tertekan iaitu duit, kuasa dan seks.

Jangan buat lawak bodoh mengenai lelaki di hadapan kawan atau keluarganya. Ada lelaki cepat tersinggung dan menganggap ia satu penghinaan besar malah mungkin satu percubaan mensabotaj nama baiknya. Bukan sensitif namun ia dilihat seperti mencabar egonya.

Lelaki cuma suka lafazkan 'I love you' pada peringkat awal perhubungan. Apabila perhubungan sudah menjadi semakin intim lelaki lupa untuk mengucapkannya semula sehingga wanita yang terpaksa memberi 10,000 jenis isyarat agar dia tidak lupa dia masih dan perlu mencintai si wanita.

Lelaki suka jika pasangannya bergaya cantik, popular dan menarik perhatian waktu berjalan bersama. Tapi jika ada lelaki lain yang tertarik dengan teman wanitanya, dia akan menyalahkan wanita dulu kerana katanya: "Awak yang kuat melayan".

Jangan kritik muzik, kereta, pasukan bola, motosikal, topi keledar atau apa saja yang menjadi kegemaran mereka kerana ia boleh cenderung kepada pertelingkahan besar di kemudian hari. Mereka cukup sensitif kepada perkara yang mereka minati terutamanya bola.

Jangan kritik cara mereka berpakaian, menyapu gel rambut atau menyikat rambut. Kalau kamu rasa ia perlu ditegur pun, carilah masa dan keadaan yang sesuai untuk menegur.

Paling penting, lelaki tidak suka diberikan tekanan pada fasa awal perhubungan. Jika dia melarikan diri apabila terserempak dengan keluarga atau sahabat handai kamu, maafkanlah dia kerana dia sebenarnya masih belum yakin sepenuhnya.

Gen Y harap kamu semua, gadis-gadis manis untuk lebih memahami mereka walaupun ia memerlukan kesabaran dan pengorbanan. Itulah yang dinamakan cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 9:18 PM