ROSSI (kanan) hampir pasti bersama Petronas Yamaha SRT musim depan. FOTO AFP
ROSSI (kanan) hampir pasti bersama Petronas Yamaha SRT musim depan. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


PRINSIPAL pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali berharap usaha untuk mendapatkan juara dunia MotoGP tujuh kali, Valentino Rossi akan menemui titik noktah minggu depan.

Kini hanya tinggal satu peratus lagi perjalanan yang perlu dilalui untuk memastikan bahawa pelumba dari Itali itu akan berlumba bersama pasukan SRT.

Kata, Razlan masih ada satu atau dua lagi pertemuan akan dilakukan minggu depan dan berharap semuanya akan dapat diselesaikan dalam waktu terdekat ini.

Beliau yang kini berada bersama pasukan untuk menghadapi saingan MotoGP Sepanyol di Litar Jerez hujung minggu ini bagaimanapun menjelaskan bahawa perjanjian masih belum ditanda tangani biarpun media melaporkan pelumba yang dikenali sebagai 'The Doctor' sudah 99 peratus pasti milik SRT.

"Seperti yang saya maklumkan kenyataan yang diwar-warkan sebelum ini memang betul, tapi kita masih belum menandatangani sebarang kontrak dengan Rossi.

"Masih perlu perbincangan dengan beberapa pihak terutama Yamaha. Walaupun sudah ada perkara yang dipersetujui tapi ia lebih kepada teknikal dan dari segi staf yang Rossi mahu kita lakukan selain persetujuan dengan apa yang dia cadangkan untuk kita tahun depan," katanya.

Sementara itu dalam laman web rasmi MotoGP, www.motogp.com Rossi yang kini berlumba untuk pasukan Monster Energy Yamaha itu menyatakan bahawa kedua-dua pihak masih menyelesaikan beberapa isu sebelum perjanjian itu dimuktamadkan tidak lama lagi.

"Berita yang saya sudah tandatangani (perjanjian) adalah tidak benar, tetapi kami hampir bersetuju dengan kontrak itu. Saya mahu terus berlumba. Sudah 99 peratus pasti bahawa saya akan bersama pasukan Petronas pada tahun 2021," kata pelumba berusia 41 tahun di laman web rasmi MotoGP, www.motogp.com.

Rossi dijangka akan bertukar tempat dengan pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo yang menandatangani kontrak dua tahun dengan Monster Energy Yamaha sehingga 2022, awal tahun ini.

Rakan sepasukan Quartararo ketika ini, Franco Morbidelli baru-baru ini melanjutkan kontraknya sehingga 2022 dengan pasukan berpangkalan di Malaysia itu.

Sementara itu Quartararo memberi amaran awal untuk menamatkan perlumbaan di podium selepas mencatatkan masa kedua terpantas di ujian MotoGP Sepanyol di litar Jerez pada Rabu.

Pelumba 21 tahun dari Perancis itu mencatatkan 1:37.911 saat (s), hanya 0.118s di belakang pelumba Sepanyol Maverick Vinales dari Monster Energy Yamaha.

Pelumba Sepanyol yang juga juara MotoGP Dunia enam kali, Marc Marquez (Repsol Honda Team) ketiga (1:38.021s), manakala rakan sepasukan Fabio Franco Morbidelli di tempat ke-14 (1:38.646s).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 9:13 PM