SURUHANJAYA Tinggi Malaysia di Islamabad
SURUHANJAYA Tinggi Malaysia di Islamabad
Amir Abd Hamid


SEMUA rakyat Malaysia yang berkunjung ke Pakistan dikehendaki mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad (STMI) sebagai langkah berjaga-jaga susulan penyebaran Covid-19 yang turut merebak di negara berkenaan.

STMI dalam kenyataan semalam berkata, walaupun Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia tidak mengeluarkan larangan kepada warga Malaysia melakukan lawatan ke Pakistan namun mereka dikehendaki mengambil langkah berwaspada.

Menurutnya, langkah berwaspada itu seperti saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa Pakistan ketika mereka di negara berkenaan.

“Setakat hari ini (semalam) lima kes Covid-19 disahkan di Pakistan iaitu tiga di Karachi dan dua kes di Islamabad. Semua pesakit sedang menerima rawatan di hospital kerajaan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Pihak berkuasa Pakistan aktif menjalankan saringan kesihatan di sembilan lapangan terbang iaitu Gilgit, Islamabad, Karachi, Lahore, Multan, Peshawar, Quetta, Sialkot dan Skardu.

“Prosedur sama turut dilakukan di semua pintu masuk melalui jalan darat dari Iran (Taftan) dan Afghanistan (Torkham dan Charman). Pihak berkuasa Pakistan menasihatkan warga negaranya untuk menangguhkan lawatan ke China dan Iran buat sementara waktu,” katanya.

Sehubungan itu juga, selaras nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia pada 5 Mac lalu untuk langkah berwaspada, semua rakyat Malaysia yang berkunjung ke Pakistan dikehendaki mendaftar menerusi jaringan STMI yang akan terus memantau perkembangan berhubung perkara ini dan mengeluarkan nasihat tambahan dari semasa ke semasa.

“Pegawai bertugas STMI boleh dihubungi di talian +92-302-8443021 atau emel di [email protected] untuk bantuan konsular,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 12:11 PM