TRUMP memberi ucapan di Pennsylvania. - AFP
TRUMP memberi ucapan di Pennsylvania. - AFP
AFP

Washington: Presiden Donald Trump menganggap tempoh 100 hari pertamanya menjadi pemimpin Amerika Syarikat (AS) sebagai ‘amat produktif’ dengan memberitahu penyokongnya banyak lagi kejayaan akan dicapai pada masa depan.

Dalam ucapan selama sejam ketika perhimpunan ala kempen pilihan raya di Pennsylvania - negeri yang paling banyak memiliki penyokongnya - Trump menyelar media dan pemimpin terdahulu, Barack Obama selain mengatakan lebih gembira kerana tidak menghadiri majlis makan malam bersama media di Rumah Putih yang menjadi tradisi presiden sebelum ini.

“Pembikin berita palsu, CNN, dan New York Times yang semakin gagal memang memalukan,” katanya.

Majlis makan malam rasmi di Washington itu dihadiri, antara lain, wartawan siasatan veteran Bob Woodward dan Carl Bernstein yang mendedahkan skandal Watergate seterusnya memaksa peletakan jawatan Presiden Richard Nixon pada 1970-an.

Antara yang menimbulkan kemarahan Trump adalah pandangan media AS yang menilai rekod tempoh 100 hari pemerintahannya sebagai tidak seberapa dan bercelaru.

Media juga banyak memberi tumpuan terhadap ‘kegagalan’ agendanya sepanjang tempoh itu, terutama janji untuk memansuhkan pelan perubatan Obamacare dan sekatan perjalanan rakyat dari negara majoriti Islam.

Namun, media turut mengiktiraf janji yang berjaya dipenuhinya seperti pelantikan hakim Mahkamah Agung konservatif dan menarik negara itu keluar dari perjanjian perdagangan Perkongsian Trans Pasifik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 6:18 AM