AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerima tamparan hebat selepas usahanya untuk memansuhkan undang-undang kesihatan yang dikenali sebagai Obamacare gagal akibat tidak mendapat sokongan sebahagian anggota Kongres Republikan yang memberontak.

Baru dua bulan berkuasa, Trump terpaksa menarik balik rang undang-undang kesihatan Republikan kelmarin, sebelum pengundian dilakukan di Dewan Perwakilan.

Keadaan itu menyebabkan janji pilihan raya Trump untuk memansuhkan pelan kesihatan oleh bekas Presiden AS, Barack Obama itu tidak kesampaian.

Kekalahan itu juga menunjukkan batasan kuasa Trump dalam membawa sesuatu agenda perundangan walaupun Republikan yang diwakilinya menguasai kedua-dua dewan.

Kini Trump perlu mempertimbangkan bagaimana untuk meneruskan pemerintahannya dengan perpecahan dan pemberontakan di Kongres.

“Kami sangat hampir untuk memperoleh sokongan mencukupi bagi meluluskan undang-undang itu.

“Bagaimanapun, tanpa sokongan Demokrat, kami tidak dapat sampai ke situ. Mereka (Demokrat) sebenarnya yang tewas,” kata Trump di pejabatnya.

Trump juga mengecam anggota Kongres dari
Demokrat yang tiada seorang pun sanggup memberi undi untuk rang undang-undang berkenaan.

Kegagalan itu adalah dasar utama kedua yang gagal direalisasikan Trump selepas usahanya menghalang pelawat dari negara Islam ke AS dua kali dibekukan mahkamah.

Speaker Dewan Perwakilan AS, Paul Ryan berkata, dia menghubungi Trump bagi memberitahu partinya jelas tidak mempunyai sokongan yang mencukupi.

“Saya menghubungi Trump dan memberitahu, perkara terbaik adalah menarik balik rang undang-undang ini dan dia bersetuju.

“Ini adalah hari yang paling mengecewakan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 10:09 AM