DONALD Trump memanfaatkan peluang pemasaran dalam pengeluaran gambar mugshotnya. FOTO Reuters.
DONALD Trump memanfaatkan peluang pemasaran dalam pengeluaran gambar mugshotnya. FOTO Reuters.
Agensi

Washington: Kempen pilihan raya Donald Trump mengutip $7.1 juta (RM33.03 juta) sejak gambar mugshot polisnya diambil di sebuah penjara di Atlanta, Georgia, pada Khamis.

Sebahagian besar wang itu hasil penjualan barangan seperti cawan mug dan baju-T dengan wajah bekas presiden Amerika Syarikat (AS) itu.

Trump yang dibebaskan dengan ikat jamin, didakwa atas tuduhan merancang untuk membatalkan keputusan pilihan raya negeri 2020.

Beliau menghadapi tiga tuduhan lain ketika rancak berkempen untuk pilihan raya AS 2024, antaranya dakwaan penipuan pilihan raya dan serangan pengikutnya di Capitol, Washington.

Trump menafikan semua tuduhan dengan mendakwa kes terhadapnya bermotifkan politik kerana beliau mendahului saingan pencalonan parti Republikan untuk mencabar Presiden Joe Biden.

Perhatian itu nampaknya merangsang penyokongnya, dan Trump kini sudah mengumpulkan hampir $20 juta (RM93.04 juta) dalam tiga minggu, sejak pendakwaan dalam kes rusuhan Georgia dan Capitol.

Pada Jumaat, sejurus selepas penahanannya di Georgia, Trump mengumpul dana politik $4.18 juta (RM19.45 juta), dikatakan jumlah tertinggi dalam tempoh 24 jam kempen setakat ini.

Khamis lalu, Trump buat pertama kali sejak Januari 2021, berkongsi di platform X, sebelum ini dikenali Twitter, gambar mugshotnya dengan keterangan "Gangguan pilihan raya. Jangan sekali-kali menyerah!".

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 11:14 AM