Bekas Presiden AS, Donald Trump. FOTO Agensi
Bekas Presiden AS, Donald Trump. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dicemuh dan diberi jeritan 'boo' oleh penyokongnya selepas mengakui sudah mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

CNN melaporkan, dalam rancangan temu bual bersama pengacara Fox News, Bill O' Reilly, beliau diajukan soalan sama ada sudah mendapatkan suntikan penggalak.

Trump kemudian menjawab 'ya' diikuti cemuhan daripada penyokongnya yang berada di studio ketika itu.

"Tidak mengapa. Ia hanya kumpulan kecil saja," kata Trump merujuk kepada penonton yang mencemuhnya.

CNN kemudian menghubungi jurucakap Trump untuk mengesahkan pengakuan Trump mengenai suntikan penggalak itu.

Dalam video temu bual yang lebih panjang, Trump dikatakan memberi amaran kepada penyokongnya mengenai tindakan mereka mengabaikan pengambilan vaksin Covid-19.

"Mereka bermain dengan hak di tangan mereka sendiri ketika mengabaikan pengambilan vaksin (Covid-19).

"Covid-19 boleh menghancurkan negara jika vaksin tidak dimanfaatkan," katanya.

Sebelum ini, Trump dalam wawancara dengan Wall Street Journal yang diterbitkan pada September lalu berkata bahawa beliau tidak mungkin mendapatkan suntikan penggalak.

Beliau dikatakan berada 'dalam keadaan baik' dan 'mungkin tidak akan' mendapatkan dos penggalak.

Januari lalu, Trump enggan membenarkan dirinya dirakam ketika mendapatkan vaksin Covid-19 dan memilih untuk melakukannya secara senyap sebelum meninggalkan Rumah Putih.

Trump juga pernah dijangkiti Covid-19 pada Oktober tahun lalu dan dimasukkan ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 6:24 PM