DONALD Trump. FOTO fail Reuters
DONALD Trump. FOTO fail Reuters
AFP

San Francisco: Rangkaian sosial terbesar, Meta mengumumkan pengembalian semula akaun Facebook (FB) dan Instagram (IG) bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, selepas dua tahun ia disekat berikutan rusuhan di Washington, pada 2021.

Presiden Hal Ehwal Antarabangsa Meta, Nick Clegg berkata, akaun berkenaan akan dikembalikan dalam beberapa minggu lagi.

"Langkah itu akan disertakan dengan kaedah sekatan baharu bagi menghalang kesalahan berulang. Pemimpin (Parti) Republikan yang mengisytiharkan dirinya sebagai calon presiden 2024 itu boleh disekat sehingga dua tahun bagi setiap pelanggaran dasar," katanya dalam kenyataan, semalam.

Jutawan berusia 76 tahun itu mendakwa tindakan menyekat akaun Facebooknya menyebabkan syarikat itu kehilangan berbilion dolar selain mendakwa hukuman terbabit tidak wajar dikenakan terhadapnya sebagai seorang Presiden, mahupun sesiapa sahaja.

FB mengharamkan Trump sehari selepas rusuhan yang berlaku pada 6 Januari 2021, apabila sekumpulan penyokongnya berhimpun di Washington, susulan kekalahannya kepada Joe Biden dalam pilihan raya.

Selepas kekalahan itu, beliau menerusi media sosial selama beberapa minggu mengeluarkan pelbagai kenyataan berhubung keputusan pilihan raya itu dan didakwa menghasut yang mencetuskan rusuhan.

Dalam surat meminta supaya sekatan akaun itu dibatalkan, peguam Trump iaitu Scott Gast berkata, Meta melakukan penyelewengan dan menghalang kebebasan awam.

Scott meminta untuk diadakan pertemuan segera bagi membincangkan mengenai pengembalian akaun FB Trump yang mempunyai 34 juta pengikut, dengan alasan statusnya sebagai pesaing utama dalam pilihan raya presiden pada 2024.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif American Civil Liberties Union (ACLU), Anthony Romero berkata, Meta membuat tindakan tepat membenarkan Trump kembali ke rangkaian sosial.

"Suka atau tidak, Trump adalah salah seorang tokoh politik terkemuka negara dan orang ramai berminat melihat ucapannya. Malah, beberapa siaran media sosial Trump menjadi bukti kukuh dalam tuntutan mahkamah yang difailkan terhadapnya," katanya ACLU memfailkan lebih 400 tindakan undang-undang terhadap Trump.

Bagaimanapun, Presiden kumpulan advokasi Media Matters, Angelo Carusone menentang keras tindakan membenarkan Trump mengeksploitasi FB.

"Membenarkan Trump kembali ke platformnya adalah tindakan silap, Meta membuka peluang kepada Trump untuk menyampaikan maklumat salah dan ekstremisme serta akan memberi ancaman kepada masyarakat," katanya.

Akaun Twitternya yang mempunyai 88 juta pengikut juga disekat selepas rusuhan itu menyebabkan beliau berkomunikasi melalui Truth yang mempunyai kurang lima juta pengikut, namun pemilik Twitter baharu Elon Musk mengembalikan semula akaun Trump pada November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 11:12 AM