ANGGOTA polis bersiap berdepan dengan penunjuk perasaan anti-Trump di Los Angeles, California.  - AFP
ANGGOTA polis bersiap berdepan dengan penunjuk perasaan anti-Trump di Los Angeles, California. - AFP
PENERBIT filem dokumentari, Michael Moore menyertai tunjuk perasaan di hadapan Menara Trump di Manhattan, New York untuk membantah kemenangan bilionair hartanah itu. - DM
PENERBIT filem dokumentari, Michael Moore menyertai tunjuk perasaan di hadapan Menara Trump di Manhattan, New York untuk membantah kemenangan bilionair hartanah itu. - DM
Agensi

New York: Bakal presiden baru Amerika Syarikat, Donald Trump semalam berbincang dengan penasihatnya di kediamannya di Manhattan, merancang langkah selanjutnya ketika ribuan penunjuk perasaan mengepung Menara Trump dan berarak di bandar lain di negara itu untuk hari keempat.

Tunjuk perasaan itu berlaku setiap hari selepas Trump mengejutkan dunia apabila mengalahkan pencabarnya, Hillary Clinton dalam pilihan raya Amerika Syarikat, Selasa lalu.

Sementara itu, Hillary semalam menyalahkan pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey kerana kekalahannya.

Bercakap pada pertemuan dengan penyumbang kempennya, Hillary berkata, tindakan Comey membuka semula siasatan terhadap e-melnya beberapa hari sebelum hari mengundi menyebabkan momentum sokongan terhadapnya terhenti.

Pengumuman Comey itu membolehkan Trump menang, kata Hillary.

Sementara itu, lebih 10,000 orang berarak ke Menara Trump di Manhattan semalam sambil melaungkan slogan ‘Trump bukan presiden saya.’

Di Los Angeles, seramai 10,000 orang juga berarak dan berhimpun di pusat bandar selepas tunjuk perasaan yang berakhir dengan penangkapan ratusan orang.

Keadaan serupa juga dilihat berlaku di Chicago dengan penunjuk perasaan melintasi menara milik bakal presiden baru itu.

Dalam pada itu, Trump mengambil langkah lebih berlembut selepas kemenangannya itu mengejutkan seluruh dunia, termasuk mengumumkan dia tidak akan menghapuskan keseluruhan undang-undang kesihatan yang diasaskan Presiden Barack Obama yang dikenali sebagai Obamacare, Jumaat lalu.

Dalam wawancara dengan The Wall Street Journal, Trump berkata, dia mungkin akan mengekalkan sebahagian elemen program kesihatan itu.

Apabila ditanya sama ada dia akan melantik pendakwa raya khas untuk menyiasat Hillary berkait dengan penggunaan pelayan peribadi e-mel ketika dia menjadi setiausaha negara, Trump mengelak menjawab dengan berkata, keutamaannya ialah ‘penjagaan kesihatan, peluang pekerjaan, kawalan sempadan dan pembaharuan sistem cukai.

Sepanjang kempen sebelum pilihan raya Trump mengetuai penyokongnya melaungkan slogan untuk memenjara Hillary.

Walaupun sudah meredakan nada kerasnya, bakal presiden itu masih belum memberi sebarang reaksi terhadap gesaan supaya dia mengambil langkah meyakinkan rakyat Amerika yang bimbang terhadap penindasan ke atas penduduk minoriti di bawah pentadbirannya.

Pusat Undang-Undang Kemiskinan Selatan (SPLC) yang mengawasi kumpulan pembenci menjejaki lebih 200 kejadian gangguan berkait dengan pilihan raya sepanjang tiga hari selepas pengundian.

Dan lebih 47,000 orang menandatangani petisyen SPLC mendesak Trump menjauhi dirinya daripada kumpulan pembenci.

Selain itu, semakin ramai rakyat Amerika, termasuk mereka yang menyertai tunjuk perasaan semalam, memakai pin keselamatan sebagai simbol perpaduan dengan kumpulan yang menjadi sasaran kempen Trump, seperti masyarakat Islam, latino dan wanita.

Puluhan ribu orang juga berkata di Facebook, mereka akan menghadiri ‘Perarakan Wanita ke Washington’ yang dijadual diadakan pada 21 Januari, hari Trump akan mengangkat sumpah dan secara rasmi menjadi presiden ke-45 Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 7:50 AM