myMetro

Kuala Lumpur: Meskipun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan berani dengan menyenaraikan pemain perseorangan negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin beraksi di Piala Sudirman yang akan berlangsung dari 21 hingga 28 Mei di Gold Coast, Australia.

Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang juga pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) berkata, keputusan untuk menyenaraikan Iskandar adalah selepas mengambil kira beberapa aspek termasuk mahu memastikan Malaysia mempunyai pasukan terkuat.

“Iskandar dijadual membuat penampilan di Terbuka Thailand (30 Mei-4 Jun) dan ia berlangsung selepas Piala Sudirman.

“Sebab itu saya beritahu kepada jurulatih perseorangan Hendawan jika Iskandar sudah bersedia untuk beraksi di Terbuka Thailand, mengapa tidak dia juga membuat persiapan untuk Piala Sudirman.

“Mungkin sekarang dia masih mengalami kecederaan tetapi sudah pun turun menjalani latihan,” katanya.

Ditanya tidakkah satu kerugian menyenaraikan Iskandar kerana dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan sejak Terbuka Macau Disember tahun lalu berbanding memberi peluang kepada barisan pemain muda, Norza mempunyai jawapan tersendiri.

“Kita boleh menyenaraikan sehingga 20 pemain. Untuk sekarang kita menyenaraikan 16 pemain utama termasuk Iskandar dan itu bermakna ada baki empat kekosongan lagi.

“Bermakna masih ada peluang untuk barisan pemain muda seperti Lee Zii Jia disenaraikan,” katanya.

Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei mengetuai senarai pemain itu bersama beberapa pemain utama lain seperti beregu utama lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Norza juga mengesahkan pemain beregu campuran negara Goh Liu Ying tidak akan beraksi di Piala Sudirman kerana mengalami kecederaan bahu selain kecederaan lama di bahagian lutut.

“Kami mahu memastikan dia dapat cergas sepenuhnya dan untuk itu, Morten Frost (Pengarah Teknikal) akan merujuk kepada Program Podium minggu depan untuk mendapatkan cara terbaik bagi membolehkan Liu Ying memperoleh rawatan terbaik,” katanya.

Beliau turut mengumumkan empat pemain iaitu dua perseorangan lelaki serta dua pemain beregu wanita akan menerima surat kerana gagal mencapai tahap kecergasan yang ditetapkan sekali gus menerima hukuman tidak akan dihantar beraksi di tiga kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 4:33 AM