LIU Ying (enam dari kiri) ketika majlis penajaan penerbangan kontinjen negara ke kejohanan BWF Piala Sudirman 2017, semalam.
LIU Ying (enam dari kiri) ketika majlis penajaan penerbangan kontinjen negara ke kejohanan BWF Piala Sudirman 2017, semalam.

Sepang: Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio Goh Liu Ying kemungkinan besar tidak dapat beraksi di Piala Sudirman yang bakal berlangsung di Gold Coast, Australia dari 21 hingga 28 Mei ini.

Ini kerana pemain beregu campuran negara yang bergandingan dengan Chan Peng Soon itu dilihat masih bergelut untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu kanan ketika beraksi di Terbuka India, Mac lalu.

Liu Ying berkata, dia hanya menyerahkan keputusan kepada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang akan bermesyuarat hari ini.

“Saya kecewa kerana menjangkakan ia semakin baik, tetapi ditimpa kecederaan lagi. Saya masih belum turun ke gelanggang dan hanya melakukan proses pemulihan biasa. C&T akan membuat keputusan mengenai status saya.

“Sudah tentu mereka akan melihat daripada pelbagai faktor terutama pandangan jurulatih dan doktor,” katanya ketika ditemui pada majlis tajaan syarikat penerbangan AirAsia X yang akan menjadi syarikat penerbangan rasmi skuad negara ke Piala Sudirman.

Ditanya adakah dia mampu pulih sepenuhnya menjelang saingan Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland Ogos depan, Liu Ying berkata, dia sememangnya mengimpikan untuk beraksi di kejohanan berprestij berkenaan.

“Tapi, saya tak dapat beri jawapan yang tepat kerana ketika ini saya belum bersedia sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen berkata, peluang skuad negara untuk menjadi pencabar kejuaraan pada saingan berkenaan dilihat sukar berikutan kecederaan Liu Ying.

Beliau berkata, meskipun pihaknya belum memutuskan sama ada Liu Ying dapat beraksi atau sebaliknya, kehadiran pemain itu pasti memberi impak besar kepada skuad negara.

Nada Frost itu agak berbeza berbanding ketika majlis undian apabila beliau menyifatkan Malaysia mampu menjadi pencabar kejuaraan kerana mempunyai pasukan yang paling seimbang dengan adanya pemain perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Peng Soon-Liu Ying.

“Sekarang situasi agak berbeza jika dibandingkan beberapa bulan lalu kerana kecederaan dialami Liu Ying. Dia masih belum berada di tahap terbaik dan segala-galanya akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan esok (hari ini),” katanya.

Pada saingan di Gold Coast itu, skuad negara diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Jepun dan Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 9:27 AM