Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Malaysia menerima tamparan menjelang saingan Malaysia Masters di Sibu, Sarawak bermula Selasa ini selepas pemain perseorangan lelaki negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin (gambar) mengesahkan terpaksa menarik diri.

Perseorangan kedua negara itu berkata, dia masih belum pulih kecederaan pinggang dan atas faktor itu, doktor menasihatkannya untuk tidak berada di Sibu.

“Saya diminta untuk berehat dua minggu. Memang rasa kecewa tak dapat beraksi kali ini tapi saya sendiri tak mahu ambil sebarang risiko.

“Saya mahu benar-benar pulih sebelum kembali turun beraksi,” katanya.

Iskandar berharap dapat pulih sepenuhnya sebelum bermulanya Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Ho Chi Minh, Vietnam dari 14 hingga 19 Februari depan.

“Nama saya sudah berada dalam senarai untuk ke kejohanan ini. Sebab itu saya perlu fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan,” katanya.

Ketiadaan Iskandar adalah kejutan kedua dihadapi kem negara selepas Goh Liu Ying yang bergandingan dengan Chan Peng Soon menerusi acara beregu campuran juga terpaksa menarik diri berikutan kecederaan lutut.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang mengesahkan perkara itu berkata, Liu Ying perlu berehat sebulan bagi proses pemulihan dan hanya dijangka kembali pada Terbuka Jerman bermula 28 Februari depan.

Ketiadaan Liu Ying-Peng Soon menyaksikan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan menjadi sandaran utama negara di Malaysia Masters.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 5:24 AM