CHONG Wei (dua dari kiri) optimis pasukan catat keputusan positif dalam kempen Piala Sudirman.
CHONG Wei (dua dari kiri) optimis pasukan catat keputusan positif dalam kempen Piala Sudirman.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sebagai ketua pasukan Datuk Lee Chong Wei mengakui berdepan tugas berat memimpin skuad negara berbanding dua edisi sebelum ini apabila Piala Sudirman 2017 membuka tirai di Gold Coast, Australia hari ini.

Menurut pemain nombor satu dunia itu, dia perlu memastikan setiap pemain kekal bersemangat seperti mana diamanatkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

“Bukan saya, V Shem (Goh V Shem), Wee Kiong (Tan Wee Kiong) atau Peng Soon (Chan Peng Soon) saja yang boleh menyumbang mata semua pemain boleh kerana ini acara berpasukan.

“Jika saya kalah, pasukan menang, kita tetap menang juga, atau saya menang pasukan kalah, kita tetap kalah,” katanya.

Ujar Chong Wei, Piala Sudirman adalah acara berpasukan campuran bukannya individu seperti kejohanan lain dan dia juga memegang kata-kata semangat disampaikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika sesi penyerahan Jalur Gemilang, bahawa apa saja boleh berlaku.

“Tahun lalu di Sukan Olimpik Rio, tidak ada siapa jangka V Shem-Wee Kiong serta Peng Soon-Liu Ying (Goh Liu Ying) akan mara ke final, jadi sama juga seperti kami di Piala Sudirman tahun ini. Kami akan cuba yang terbaik ketika berdepan siapa saja di Gold Coast.

“Ramai yang berpendapat kami sedikit terganggu apabila Liu Ying ke Jerman untuk menjalani rawatan kecederaan, tapi kami masih mempunyai pasangan beregu campuran kedua negara (Tan Kian Meng-Lai Pei Jing) atau Peng Soon untuk digandingkan dengan pemain lain,” katanya.

Ujarnya, pasukan kali ini dianggotai tiga pemenang perak Olimpik, jadi peluang untuk meraih kejayaan atau mencatat keputusan lebih baik berbanding sebelum ini sangat tinggi.

“Kita masih mempunyai tempoh beberapa hari mempersiapkan diri (bertolak dari Malaysia, Rabu lalu), jadi semua bergantung kepada situasi latihan di sini dan bagaimana untuk kami membangkitkan semangat berjuang sebagai satu pasukan,” katanya.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan 1C akan turun beraksi menentang Jepun dan sehari selepas itu, melayan wakil Eropah, Jerman untuk mencari dua slot terbaik kumpulan layak ke suku akhir.

Selain Chong Wei, V Shem-Wee Kiong, Peng Soon dan Kian Meng-Pei Jing, skuad negara turut dibarisi Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki), Goh Jin Wei, Soniia Cheah (perseorangan wanita), Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) serta Cheah Yee See (beregu campuran).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 6:40 AM