CABARAN flying fox turut diuji kepada peserta perempuan.
CABARAN flying fox turut diuji kepada peserta perempuan.
PESERTA berkayak bersedia menghadapi cabaran di Sungai Perak.
PESERTA berkayak bersedia menghadapi cabaran di Sungai Perak.
D J Dolasoh

Ketahanan mental dan fizikal remaja penting sebagai persediaan menghadapi pelbagai cabaran untuk menjalani kehidupan pada nmasa depan.

Seramai 198 remaja dipilih menyertai Kem Remaja Synergy (KRS) yang menjadi sebahagian latihan dalam membentuk jati diri remaja terbabit.

KRS anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKM) dengan kerjasama Neo Synergy Training Centre (NSTC) selama tiga hari dua malam bertempat di Pusat Kepimpinan Pelajar MARA, Lenggong, Perak, baru-baru ini.

Program membabitkan peserta berusia 15 hingga 17 tahun dari sekolah di utara dan pantai timur itu dibimbing 44 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai sebagai fasilitator.

Pelajar IPT terbabit adalah daripada Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Malaysia Perlis (UniMap), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Cawangan Kubang Kerian, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putera Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Selangor.

Pengarah Program Nur Aimi Athirah Suhaimi, 23, berkata peserta terbabit dibahagikan kepada beberapa kumpulan supaya dapat menjalani latihan mental dan fizikal dengan baik serta berkesan.

“Antara cabaran itu termasuk berkayak di Sungai Perak yang berarus deras dan dalam, memanjat tembok, ‘flying fox,’ mengayuh basikal di jalan berbukit, memanah dan meredah belantara bagi menguji ketahanan fizikal serta mental peserta.

“Ada dalam kalangan peserta tidak berjaya melepasi halangan dan cabaran ketika pertama kali melakukannya dan terpaksa diulang supaya semua berpeluang melakukannya dengan sempurna,” kata graduan Kejuruteraan Kimia yang baru saja menamatkan pengajian di UTP Seri Iskandar itu.

Menurutnya, peserta yang tidak berjaya pada halangan dan cabaran pertama diberi suntikan semangat serta motivasi supaya setiap kegagalan berjaya diatasi.

Nur Aimi Athirah berkata, penganjuran ini adalah kali ketujuh dengan objektif menyuntik kesedaran kepentingan merancang kehidupan masa depan dengan lebih baik bermula sejak zaman remaja.

Katanya, meskipun pada awalnya sebahagian peserta tidak mampu mencapai tahap diingini namun akhirnya ternyata berjaya.

Menurutnya, YDKM dengan kerjasama NSTC turut mengendalikan program pada tarikh sama di zon lain iaitu di Sabah dan Selangor atas permintaan peserta bagi membolehkan lebih ramai mendapat manfaat daripada aktiviti yang disediakan.

“Kami berharap pelajar sekolah menengah yang menyertai program ini memperolehi manfaat dengan maksimum dan pelajar IPT yang bertindak sebagai fasilitator turut mendapat kemahiran yang berkaitan dengannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 11:06 AM