Amirul  (duduk kanan) bersama rakan mendaki gunung.
Amirul (duduk kanan) bersama rakan mendaki gunung.
Noor Hidayah Tanzizi


Berpegang dengan ‘sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada orang lain’, Amirul Hisham Aimi Che Amran, 23, nekad mengembangkan minat dalam bidang motivasi bagi memberikan suntikan semangat kepada pelajar sekolah.

Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) itu memberikan suntikan motivasi dan perkongsian berteraskan muhasabah dan jati diri di lebih 50 sekolah dan program kepemimpinan di Kelantan, Perak, Johor, Kedah dan Kuala Lumpur.

Penuntut Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) itu bergiat aktif menyampaikan perkongsian dan program anjuran konsultan latihan serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Briged Bakti Malaysia.

Menurut Amirul Hisham Aimi, walaupun masih belajar, ia tidak dijadikan penghalang untuknya berkongsi dan menaikkan semangat murid dan pelajar.

Katanya, dia bermula sebagai fasilitator dan sejak itu dia kerap mengikuti kursus kepemimpinan yang dianjurkan NGO untuk memantapkan diri.

“Bermula pada 2015 ketika itu saya memegang jawatan sebagai Ketua Fasilitator di Akademi Pembangunan Ummah mula bergerak aktif menyampaikan perkongsian dan dalam setiap sesi saya menekankan konsep jati diri dan matlamat hidup.

“Saya juga gemar menceritakan pengalaman sendiri apabila terpaksa menolak tawaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas kemalangan dan cedera parah di kedua-dua kaki dua minggu sebelum melaporkan diri biarpun impian saya mahu menjadi pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika itu.

“Daripada kisah itu saya mahu mereka (pelajar) menetapkan matlamat hidup kerana jika apa yang diimpikan tidak kesampaian ia bukan penamat segala-galanya dan daripada matlamat itu akan memberikan peluang lain,” katanya.

Dia yang berasal dari Ketereh, Kelantan, berpendapat penyampai motivasi muda mempunyai kelebihan tersendiri apabila berhadapan dengan pelajar sekolah.

“Bagi saya, komunikasi dua hala itu mudah selain lebih dekat dengan pelajar dan daripada situ penerimaan lebih berkesan, malah saya anggap mereka seperti adik sendiri.

“Saya juga gemar berkongsi cara belajar ketika program selain aktiviti asas seperti latihan dalam kumpulan (LDK).

“Program yang disertai tidak tertumpu aktiviti dalam kelas saja dan ada juga luar bilik darjah untuk melengkapkan asas jati diri,” katanya yang mengakui sukar membuang rasa cinta dalam menyampaikan perkongsian dan motivasi.

Katanya, dia mahu menyampaikan walau satu ilmu supaya ia dapat dimanfaatkan orang lain, malah setiap perkongsian dan motivasi yang disampaikan turut diaplikasikan dalam kehidupannya.

“Setiap perkongsian dan aktiviti program yang disertai bersama pelajar dan anak yatim saya harap ia dapat memberikan semangat dan asas jati diri dalam mencapai matlamat hidup mereka,” katanya pernah mengikuti program Motivasi dan Bahasa Melayu ke Kampung Jelor Bachok di Narathiwat, Thailand, tahun lalu.

Amirul Hisham Aimi juga antara peserta Ekspedisi Berkayak Kekar Malindo (Malaysia-Indonesia) bersama pendayung kayak solo negara Murad Mohd Kassim serta seorang lagi peserta tempatan selain ‘kayakers’ daripada Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 4:46 AM