SEBAHAGIAN 140 pelajar prauniversiti daerah Hulu Perak tekun mengikuti kolokium.
SEBAHAGIAN 140 pelajar prauniversiti daerah Hulu Perak tekun mengikuti kolokium.
D J Dolasoh


Seramai 140 pelajar prauniversiti dari tiga sekolah menengah di daerah Hulu Perak didedahkan maklumat awal yang bakal ditempuhi dan cara mengatasinya melalui program kolokium bertajuk Cabaran, Peluang dan Harapan sebagai persediaan melangkah ke universiti, tahun depan.

Program anjuran Parlimen Lenggong itu turut diserikan dengan pertandingan deklamasi sajak dan pidato Piala Ahli Parlimen Lenggong.

Ia dirasmikan Ahli Parlimen Lenggong yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Shamsul Anuar Nasarah di SMK Dato’ Ahmad (SMKDA) Lenggong, baru-baru ini.

Dua fasilitator iaitu Guru Hal Ehwal Murid (HEM) SMKDA Ishak Hassan Basri dan kaunselor SMKDA Azhar Omar mengendalikan kolokium selama empat jam di Dewan Bestari SMKDA dengan membincangkan cabaran, peluang dan harapan yang bakal dihadapi pelajar sebelum, semasa dan selepas menamatkan pengajian di universiti.

Shamsul Anuar berkata, pelajar prauniversiti perlu bersedia dari segi mental, fizikal dan mempunyai kecekapan berfikir bagi menghadapi cabaran yang bakal dihadapi ketika memasuki institusi pengajian tinggi kelak.

“Pelajar perlu membuat persediaan lebih awal, bukan saja untuk menghadapi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bermula 8 November depan tetapi juga persiapan selepas itu.

“Tidak mudah untuk mencapai kecemerlangan di universiti jika tidak dapat menyelesaikan masalah atau mengatasi cabaran secara berhemah dan bijaksana,” katanya.

Sementara itu, pelajar prauniversiti SMKDA Muhammad Shazli Idham Sharifuddin berkata, kolokium itu bermanfaat kerana banyak memberi maklumat mengenai dunia kampus.

“Pengetahuan ini menjadi tiket kepada saya membuat persediaan dan bersedia menempuh cabaran baru,” katanya..

Nur Akasyah Samsudin dari SMK Sultan Idris Shah II, Gerik, berkata, dia bersungguh-sungguh membuat persiapan bagi gus meneruskan momentum kecemerlangan.

“Cabaran paling besar ialah untuk meningkat dan meneruskan kecemerlangan, sekali gus mencapai cita-cita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 11:07 AM