SEBAHAGIAN daripada peserta kejohanan taekwondo mewakili 26 sekolah di Besut.
SEBAHAGIAN daripada peserta kejohanan taekwondo mewakili 26 sekolah di Besut.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Jertih: Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud (SKTM) muncul juara keseluruhan Kejohanan Taekwando Sekolah-Sekolah Rendah Daerah Besut selepas berjaya meraih lima emas, lima perak dan 15 gangsa.

SKTM mengenepikan 26 pencabar lain termasuk SK Kerandang yang menduduki tempat kedua dengan empat emas manakala tempat ketiga menjadi milik SK Padang Luas (tiga emas, satu perak).

Pengerusi Teknikal Kejohanan Mohamad Salihin Siew Hin Abdullah berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan semua peserta.

“Berdasarkan persembahan dan ketangkasan mereka pada kejohanan ini, kami berpeluang menilai dan mencungkil bakat baru yang boleh diketengahkan.

“Beberapa atlet yang mempunyai potensi akan dipilih untuk mewakili negeri pada kejohanan di peringkat kebangsaan tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan di Sekolah Menengah Vokasional Besut, baru-baru ini.

Salihin berkata, kejohanan itu dilihat sebagai landasan untuk atlet baru mempamerkan bakat mereka seterusnya memperoleh pengalaman bertanding.

“Mereka perlukan landasan untuk mempamer kemahiran malah ia menjadi pendorong kepada murid yang menyertai sukan ini untuk berlatih bersungguh-sungguh bagi memastikan mereka terpilih untuk mewakili sekolah dan negeri.

“Apabila ada sasaran yang perlu dicapai, mereka akan lebih fokus untuk menjalani latihan sekali gus mempunyai matlamat dalam sukan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, memandangkan Besut antara daerah yang mempunyai keahlian teramai di Terengganu, tidak mustahil bakat baru dalam sukan itu dapat ditemui sebelum digilap ke peringkat lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 10:00 AM