KEJOHANAN Wushu kembali meriah selepas pandemik Covid-19. FOTO NAZRI ABU BAKAR
KEJOHANAN Wushu kembali meriah selepas pandemik Covid-19. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kejohanan Wushu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)-Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) di Bukit Serindit bermula hari ini sehingga Ahad ini antara usaha pembentukan atlet muda negara.

Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh berkata, penyertaan 500 peserta daripada 16 kontinjen dari seluruh negara menjadi landasan kepada sukan wushu mengenalpasti bakat sebelum Temasya Olimpik Remaja Dakar 2026.

Katanya, harapannya ada dalam kalangan mereka berpeluang mewakili negara dan mampu membawa pulang pingat emas di Dakar 2026 kelak.

"Kejohanan ini antara usaha pembangunan sukan wushu dalam kalangan pelajar bagi persiapan negara pada kejohanan besar yang lain menerusi pembentukan bakat baharu," katanya.

Malah, Hannah berharap lebih banyak pertandingan sukan di peringkat sekolah dapat diselaraskan dengan lebih rapi bersama KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Malah keputusan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Sukan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri baru -baru ini membuat keputusan supaya wushu dan sukan tempur lain seperti karate, taekwando dan silat yang sebelum ini dikategorikan sebagai badan beruniform kini diklasifikasi sebagai sukan di sekolah dapat menarik lebih ramai penyertaan seperti sukan lain.

"Penganjuran juga meningkatkan kemahiran pegawai teknikal mengendalikan pertandingan sukan bertaraf antarabangsa kerana terdapat Geran Padanan Sukan KBS yang menyediakan peruntukan RM40 juta dilihat sebagai inisiatif yang positif dalam menggalakkan lebih banyak pertandingan sukan diadakan di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 10:15 PM