HANNAH ketika merasmikan pembukaan Kejohanan Wushu KPM-WFM di Bukit Serindit hari ini. FOTO Nazri Abu Bakar
HANNAH ketika merasmikan pembukaan Kejohanan Wushu KPM-WFM di Bukit Serindit hari ini. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

Melaka: Kejohanan Wushu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) – Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) di Bukit Serindit bermula hari ini hingga Ahad antara usaha pembentukan atlet muda negara.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh berkata, penyertaan 500 peserta daripada 16 kontinjen dari seluruh negara menjadi landasan kepada sukan wushu yang disenarai dalam Sukan Olimpik Remaja Dakar 2026 (YOG).

Beliau berharap ada dalam kalangan mereka berpeluang mewakili negara dan mampu membawa pulang pingat emas di Dakar 2026 kelak.

Menurutnya, kejohanan terbabit antara usaha pembangunan sukan wushu dalam kalangan pelajar bagi persiapan negara pada kejohanan besar yang lain menerusi pembentukan bakat baharu.

Malah, pelbagai pertandingan di peringkat sekolah yang turut akan diadakan juga diharap dapat diselaras dengan lebih rapi bersama KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya selepas mereka berjaya meraih kejuaraan di peringkat berkenaan terdapat kesinambungan yang lebih baik dalam pengembangan atlet baharu.

"Malah keputusan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Sukan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri baru -baru ini membuat keputusan supaya wushu dan sukan tempur lain seperti karate, taekwando dan silat yang sebelum ini dikategorikan sebagai badan beruniform kini diklasifikasi sebagai sukan di sekolah sekali gus menarik lebih ramai penyertaan seperti sukan lain.

"Penganjuran juga meningkatkan kemahiran teknikal mengendalikan pertandingan sukan bertaraf antarabangsa kerana terdapat Geran Padanan Sukan KBS yang menyediakan peruntukan RM40 juta dilihat sebagai insiatif yang positif dalam menggalakkan lebih banyak pertandingan sukan diadakan di negara ini," katanya selepas merasmikan kejohanan itu hari ini.

Hadir sama Presiden WFM, Datuk Chong Kim Fatt dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 4:49 PM