Sebulat suara (dari kiri), Shapawi, Ganeson, Lokman dan Hamidin. FOTO FAM
Sebulat suara (dari kiri), Shapawi, Ganeson, Lokman dan Hamidin. FOTO FAM
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Kerajaan Malaysia tetap bertegas tidak membenarkan skuad Harimau Malaya berkunjung ke Pyongyang bagi aksi pertama Kumpulan B Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara pada 8 Jun ini.

Keputusan itu dibuat atas faktor ketegangan geopolitik Korea Utara dengan negara-negara lain yang dilihat kini semakin meruncing.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa ketetapan kerajaan itu akan disampaikan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Satu mesyuarat pelarasan diadakan dihadiri Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Setiausaha Bahagian Asia Timur Kementerian Luar, Datuk S Ganeson bagi membincangkan status penyertaan skuad kebangsaan, Harimau Malaya untuk aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 8 Jun ini.

"Selepas perbincangan, Datuk Lokman yang mempengerusikan mesyuarat memutuskan untuk bersetuju dan mengambil maklum akan pandangan serta ulasan daripada Kementerian Luar Negeri bahawa ketegangan geopolitik antara Korea Utara dan negara-negara lain kini semakin meruncing.

"Sehubungan itu, mesyuarat berkenaan telah bersetuju agar perlawanan tidak diadakan di Pyongyang tetapi diadakan di gelanggang berkecuali. Hasil keputusan akan dibawa maklum kepada AFC untuk tindakan selanjutnya," menurut kenyataan itu.

Arena Metro sebelum ini melaporkan bahawa Persatuan Bolasepak Korea Utara (PRKFA) enggan menyatakan cadangan venue berkecuali kepada AFC pada tarikh akhir 14 April lalu sebaliknya tetap mahu aksi diteruskan di Pyongyang.

Perlawanan Malaysia dengan Korea Utara sepatutnya berlangsung pada 28 Mac lalu namun terpaksa ditangguhkan ke 8 Jun atas sebab ketegangan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Selain faktor keselamatan, Harimau Malaya berharap perlawanan itu tidak diadakan di Pyongyang kerana ia menyukarkan mereka untuk bersedia menghadapi Lubnan bagi perlawanan kedua di Kuala Lumpur pada 13 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 7:03 PM