Tunku Ismail bersama pegawai tertinggi FAM mahu gelanggang berkecuali. FOTO fail HM
Tunku Ismail bersama pegawai tertinggi FAM mahu gelanggang berkecuali. FOTO fail HM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertegas mahu perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 8 Jun ini diadakan di gelanggang berkecuali. Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya masih kekal dengan pendirian itu walaupun Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) mahu perlawanan berkenaan dilangsungkan di Pyongyang.

"Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai penganjur akan memutuskan perkara ini.

PRKFA ada menghantar surat kepada AFC menyatakan keinginan mereka bermain di Pyongyang dan memberi jaminan keselamatan terhadap skuad negara," katanya.

Beliau berkata selepas majlis perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) yang disempurnakan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi di sini, hari ini.

Hamidin berkata AFC mahukan surat daripada kerajaan, sama ada dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ataupun Kementerian Luar bagi mengukuhkan permintaan FAM.

"Kita akan adakan satu mesyuarat bersama KBS yang akan dipengerusikan Ketua Setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Ali bagi membincangkan perkara ini.

"Yang penting, saya bersama Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta pegawai tertinggi FAM sepakat tidak mahu aksi Harimau Malaya dengan Korea Utara berlangsung di sana (Pyongyang).

Hamidin turut mengesahkan semua aksi skuad negara bagi kempen kelayakan Piala Asia 2019 akan berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor.

Pertemuan Malaysia dan Korea Utara seharusnya dilangsungkan pada 28 Mac lalu tetapi terpaksa ditangguhkan atas permintaan FAM yang mahu ia dilangsungkan di gelanggang berkecuali.

Ini berikutan ketegangan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbangan Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 8:00 PM