Bangkok: Bekas jurulatih Thailand Kiatisuk Senamuang (gambar tiga kiri) bukan ketua jurulatih baru Harimau Malaya walaupun ada spekulasi mengaitkan namanya dengan jawatan itu.

Andai masih ada yang mengharap, jawapan isterinya, Asarapa Senamuang yang dihubungi BERNAMA semalam pasti akan mematikan segala impian itu.

“Tidak, tiada perbincangan dengan mana-mana pasukan ketika ini. Sekarang dia hanya melakukan kerja sendiri dan belum menerima sebarang tawaran,” katanya ketika ditanya spekulasi yang mengaitkan suaminya dengan jawatan sebelum ini disandang Datuk Ong Kim Swee.

Kiatisuk atau dikenali sebagai Zico Thailand dipecat Persatuan Bolasepak Thailand berikutan persembahan hambar skuadnya sewaktu pusingan kelayakan Piala Dunia Zon Asia, apabila mereka hanya mengutip satu mata daripada tujuh perlawanan.

Menurut Asarapa, bekas penyerang handalan itu kini hanya mahu berehat dan belum bersedia untuk mengendalikan mana-mana pasukan.

Dalam sidang media di Johor Bahru semalam, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata nama pengendali baru skuad Harimau Malaya akan diumum dalam masa terdekat.

Menurut Tunku Ismail, pertemuan dengan individu yang bakal menjadi ketua jurulatih negara akan diadakan bagi menilai kesesuaiannya dengan tugas itu tetapi enggan menamakan calon berkenaan.

Antara jurulatih dikaitkan dengan jawatan itu adalah bekas ketua pasukan dan pengendali yang membawa Brazil menjuarai Piala Dunia Carlos Dunga, pengurus Leicester yang dipecat Claudio Ranieri, bekas jurulatih Thailand Wilfried Schaefer dan bekas pengendali Argentina Alejandro Sabella. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 4:15 AM