CHOKETAWI (dua dari kiri) bersama  Ketua Jurulatih Malaysia, Dollah Salleh (dua dari kanan) pada sidang media rasmi pra perlawanan akhir Piala AFF.
CHOKETAWI (dua dari kiri) bersama Ketua Jurulatih Malaysia, Dollah Salleh (dua dari kanan) pada sidang media rasmi pra perlawanan akhir Piala AFF.

Bangkok: Banyak helah jurulatih Thailand Kiatisuk Senamuang mempersiapkan pasukannya menghadapi Harimau Malaya pada pertembungan final pertama Piala AFF di Stadium Nasional Rajamangala, hari ini.

Selepas secara tiba-tiba menukar sesi latihan rasmi pada sebelah petang ke sebelah pagi, pengendali yang turut dikenali sebagai Zico itu seperti biasa enggan bertemu pemberita pada sidang media.

Ia bukan kali pertama beliau ‘menyembunyikan’ diri sebelum perlawanan sepanjang kempen kejohanan ini dan hanya penolong jurulatih Choketawi Pramsut hadir mengambil tempatnya untuk menjawab soalan media.

“Kami bekerja sebagai satu pasukan dan saya hadir ke sini atas arahan untuk membantunya (Kiatisuk),” kata Choketawi ketika ditanya mengenai ketiadaan Kiatisuk.

Thailand mempunyai alasan kuat untuk melakukan apa saja bagi menjamin kemenangan final kali ini selepas mereka tewas pada 2007, 2008 dan 2012 kepada Singapura, Vietnam dan Singapura, semuanya dengan keputusan agregat 3-2.

Kali terakhir Thailand menang ketika Kiatisuk beraksi sebagai pemain pada 1996, 2000 dan 2002.

Choketawi percaya dengan barisan pemain yang mereka miliki ketika ini, badi kekalahan di final pasti berakhir.

“Setiap pasukan mempunyai peluang 50-50 untuk menang di final, tapi kami yakin dengan kesungguhan pemain kami.

“Ini barisan terbaik Thailand miliki ketika ini, kami percaya boleh membawa pulang trofi kejuaraan semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 6:25 AM