Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) kini membuka tempahan untuk model Myvi terbarunya yang menawarkan pelbagai penambahbaikan dan akan dilancarkan pada 15 Januari depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, Myvi adalah model kompak paling laris jualannya selama sembilan tahun berturut-turut dan bagi model baru itu turut memperoleh penarafan empat bintang menerusi Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN.

“Kami mengalu-alukan kunjungan orang ramai ke mana-mana 182 pusat jualan PERODUA seluruh negara untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran terkini.

“Penambahbaikan bagi model ini dibuat selepas kajian mendalam dilakukan bagi memberi nilai lebih baik kepada pelanggan dan hasil kajian ini membolehkan kami memberi nilai tambah sehingga RM3,800,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, PERODUA ingin mengucapkan terima kasih kepada sokongan berterusan yang ditunjukkan menerusi model Myvi dan berharap dapat merancakkan pasaran menerusi model yang dipertingkatkan ini.

Antara ciri baru pada model itu termasuk sensor bamper depan, penyangkut anti ragut, lampu depan projektor dengan panduan, pemegang minuman mudah simpan dan sistem multimedia navigasi dengan kamera undur.

Myvi baru ini ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.3 liter dan 1.5 liter dijual pada harga antara RM41,500 dan RM58,900 di Semenanjung Malaysia dan didatangkan dalam dua warna, Electric Blue dan Cosmic Gold. Ia adalah tambahan warna popular model itu yang sedia ada iaitu Ozzy Orange, Mystical Purple, Glittering Silver dan Ivory White.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 5:31 AM