JUANITA, Sher ambil masa 8 bulan hasilkan single pertama, Free The Music.
JUANITA, Sher ambil masa 8 bulan hasilkan single pertama, Free The Music.
Georgie Joseph


Beberapa tahun lalu, dua sahabat baik yang berkenalan di Taylor’s College, Sunway ini menyimpan cita-cita menjadi pemuzik.

Namun, ketika itu mereka tidak pasti hala tuju dan konsep paling tepat untuk merealisasikan impian berkenaan.

Juanita, 26, dan Sher, 27, akhirnya sepakat bergerak sebagai duo dengan menggelarkan diri sebagai DVA.

Tampil dengan muzik pop funk, terbaru duo itu melancarkan single sulung berbahasa Inggeris berjudul Free The Music.

Walaupun tahu situasi industri muzik tempatan kini kurang memberangsangkan, DVA optimis mereka mampu bergerak jauh.

Lagipun, muzik mereka berunsur universal dan berharap ia turut diterima peminat luar negara.

“Kami dapat rasakan muzik kami ada potensi besar. Zaman sekarang, industri muzik sudah semakin terbuka apabila kekuatan lagu itu bukannya terletak dari negara mana asal lagu itu, tetapi melodi serta kualitinya.

“Disebabkan itu, kami memilih untuk menjadikan karya kami lebih universal dan relevan dengan pasaran sekarang. Lagipun, pelbagai platform muzik sudah wujud seperti iTunes, Spotify, YouTube, dan banyak lagi. Bukannya menerusi radio semata-mata.

“Jadi, kami tidak bimbang sangat dari segi penerimaan kerana percaya, jika karya bagus pastinya ia akan dihargai dan dikenali,” kata Juanita.

Bernaung di bawah label Warner Music Malaysia, duo ini turut berkongsi mengenai ketelitian menghasilkan single sulung.

Bagi mereka, sepenuh usaha perlu dicurahkan memandangkan single itulah yang akan menentukan tanggapan pertama daripada pendengar.

“Free The Music mengambil masa selama lapan bulan untuk dihasilkan. Kami kena benar-benar teliti dengan hasil akhirnya dan baik daripada segi kesempurnaan bunyi serta kualitinya.

“Tidak ketinggalan, penghasilan video muziknya juga antara faktor kami mengambil masa yang lama untuk melancarkannya. Kami perlu tampil dengan idea serta jalan cerita yang paling sempurna untuk lagu berkenaan.

“Single itu menyelitkan mesej kuat yang menyeru sesiapa juga melakukan apa saja perkara diinginkan dalam hidup. Kami mahu bangkitkan kegembiraan dalam diri setiap pendengar terutama yang lebih banyak bersedih sekarang ini,” katanya.

Mahu hasil lagu Melayu

Bercerita mengenai visi mereka, DVA berharap dapat berkolaborasi dengan lebih ramai nama besar pada masa depan.

Selain itu, mereka juga mahu terus bereksperimen dengan muzik mereka.

“Secara dasarnya, kami memperjuangkan muzik pop dan disuntik dengan elemen lagu seperti Paramore. Kami memang suka mendengar semua jenis muzik dan tidak hadkan penghasilan karya kami,” kata Sher.

Menurut Sher, mereka juga bakal menghasilkan single kedua apabila mereka bekerjasama dengan dua nama besar di Singapura.

Ia dijangka dilancarkan pada tahun ini.

“Selain daripada artis berkenaan, kami juga berharap dapat bekerjasama dengan artis tempatan seperti Kaka Azraff dan SonaOne,” katanya.

Mengakui mahu menarik peminat pasaran Melayu, DVA juga tidak menolak bakal tampil dengan karya bahasa kebangsaan.

“Kami memang ada perancangan mahu hasilkan lagu bahasa Malaysia, tapi bukan secepat mungkin kerana perlu tekankan kepada karya Inggeris terlebih dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 2:03 AM