RAYUAN Kasih karya pertama hasil ciptaan Qody.
RAYUAN Kasih karya pertama hasil ciptaan Qody.
Sudirman Mohd Tahir


Langkah penyanyi, Qody Rany, 28, dalam industri muzik tanah air bermula selepas dia mendapat tempat kedua dalam program Mentor Milenia 2016.

Kemudian pada 2020, Qody menyertai pula program realiti Big Stage musim ketiga di mana dia memenangi tempat ketiga.

Sepanjang tempoh itu, Qody atau nama sebenarnya Rossaidi Abdul Rani sudah menghasilkan lima single yang mana dua daripadanya dipilih menjadi lagu tema drama rantaian tempatan.

Single Dia yang dikeluarkan pada 2017 menjadi runut bunyi drama Kekasih Paksa Rela, manakala single Satu Malam yang dilancarkan pada 2020 menjadi runut bunyi drama Pengantin Satu Malam.

Lebih menarik, masing-masing mencapai 3.8 juta dan 3.4 juta tontonan di YouTube.

Sempena Aidilfitri tahun ini, Qody muncul dengan single raya, Jom Balik Raya bersama pelawak terkenal, Saiful Apek dan Yassin Yahya.

Muzik video single itu terus 'trending' di YouTube ketika dilancarkan dan mencapai lebih 500,000 tontonan di YouTube.

Tidak dinafikan Qody antara bakat baharu yang memiliki kualiti vokal yang bagus. Malah, dari segi persembahan pentas, penyanyi kelahiran Langkawi, Kedah ini punya gaya tersendiri.

Selain menyanyi, Qody kini mula berjinak dalam bidang penulisan lagu. Karya pertamanya bersama penulis lagu lain membuahkan hasil dengan kejayaan lagu Jom Balik Raya.

Kini buat pertama kalinya, Qody memberanikan diri untuk menghasilkan lagu ciptaan sendiri berjudul Rayuan Kasih yang dilancarkan secara rasmi pada 1 Julai lalu selain berharap lagu itu mampu memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam industri muzik tanah air.

"Saya sedar penerimaan diri saya dalam industri ini belum sampai tahap yang diinginkan. Tapi, saya tak rasa nak mengalah sebab saya melalui liku-liku perjalanan yang sangat mencabar dalam industri dari awal sampai sekarang. Saya nak menjadikan susah payah itu sebagai satu pedoman untuk terus kekal dan tak mengalah sebab saya tahu bukan mudah untuk genggam kejayaan.

"Apa yang saya nampak, kebanyakan penyanyi baharu ini nak cepat tular dan terkenal. Bagi saya, perkara itu tak salah, tapi kemungkinan susah nak bertahan nanti. Ada baiknya juga kalau populariti seseorang penyanyi itu naik secara berperingkat.

"Saya cuba mengembangkan bakat saya dari segi berkarya dan ambil sebarang peluang yang ditawarkan. Kadang-kadang ada artis yang nampak biasa-biasa saja, tapi 'job' tak putus-putus. Bagi saya, populariti nama juga penting dalam industri supaya orang senang ingat.

"Perjalanan seni saya untuk tahun ini berjalan lancar. Selepas melancarkan single terbaharu ini, saya dipilih masuk dalam beberapa program realiti menyanyi dan program rakaman lain," katanya.

Menurut Qody, dia mahu orang menilainya menerusi kualiti pada dirinya selain menghasilkan karya yang boleh diingati sampai bila-bila atau terus malar segar.

"Saya nak biar orang menilai saya dari segi kualiti. Saya belajar daripada karya lama sebab sekarang sudah terbukti karya lama malar segar dan ramai penyanyi baharu mahu merakam semula lagu-lagu ini. Walaupun ia lagu lama, tapi penyanyi baharu sedar mereka boleh membina nama dengan menyanyikan semula lagu-lagu lama itu.

"Kita perlu terus mencuba, kalau tak menjadi sekarang pun mungkin pada masa depan. Kita berkarya untuk bertahan selama-lamanya seperti lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang kita dengar sampai sekarang sebab hasil kualitinya.

"Saya percaya rezeki itu ketentuan Ilahi, tapi kita sebagai manusia perlu sentiasa berusaha. Kita mencuba dan terus berkarya. Kalau dalam bab berkarya ini, kita tak boleh berhenti mencuba.

"Tapi, harapan saya sangat tinggi, siapa tak mahu lagu dia menjadi kan? Lagu ini menjadi satu terapi jiwa sebab tanpa lagu, muzik dan karya begini hidup akan kosong," katanya.

Berkongsi mengenai lagu Rayuan Kasih, Qody berkata, lagu dan lirik adalah berdasarkan kisah sebenar yang berlaku kepada orang sekelilingnya.

"Lagu ini sebenarnya mengenai kisah sebenar seseorang yang dekat dengan saya. Jalan cerita itu memang kisah benar seperti apa yang digambarkan dalam muzik video lagu ini. Saya cuba jadikan kisah ini satu teladan untuk orang ramai. Kisahnya mengenai suami isteri yang sudah lama berkahwin, tapi pada akhirnya bercerai angkara beberapa isu yang berlaku.

"Saya rasa sangat tak sabar nak perdengarkan lagu ini kepada orang ramai sebab ia adalah karya yang sangat memberi kesan kepada saya. Perasaan yang saya letak dalam lagu ini dapat menggambarkan apa yang seseorang itu rasakan. Jadi, saya cuba terapkan perasaan itu dalam lagu ini supaya orang boleh ambil iktibar daripada kisah ini," katanya.

Dalam masa sama, Qody menyifatkan lagu Rayuan Kasih mempunyai kelebihan tersendiri dan perlu diberikan perhatian.

"Saya tak rancang pun tulis lagu ini, tapi saya dapat melodi ini secara tiba-tiba di rumah. Alhamdulillah ia dipermudahkan. Lagu ini saya siapkan dan bagi demo pada kawan saya. Apabila saya perdengarkan pada bos syarikat rakaman saya, dia pun suka dan mahu ia dirakamkan. Saya rasa ia amat bermakna sebab dalam lagu ini ada macam-macam rasa yang menyentuh hati.

"Saya harap lagu ini menjadi siulan ramai. Saya mengharap lagu ini menjadi, kalau tak menjadi pun saya akan terus berkarya. Tapi, apa pun saya harapkan yang terbaik," katanya.

Lagu Rayuan Kasih boleh distrim di semua platform muzik digital mulai 1 Julai lalu dan MV lagu juga sudah boleh ditonton di saluran YouTube Najah Music.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 6:30 AM