ANGGOTA bomba memadam kebakaran kereta pegawai ladang. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran kereta pegawai ladang. FOTO ihsan Bomba
Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor

Tampin: Seorang pegawai ladang kerugian kira-kira RM67,000 apabila kereta dan dapur rumahnya di Ladang Regent, Gemencheh, dekat sini, musnah terbakar petang tadi.

Dalam kejadian 4.07 petang itu, mangsa V Balamani, 34, berada di pejabat berhampiran sebelum dimaklumkan mengenai kebakaran di rumahnya.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Pegawai Bomba Kanan II Roslan Sahrani berkata, sejurus menerima panggilan pihaknya bersama lima anggota dan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian, dibantu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas.

"Kereta jenis milik mangsa terbakar 100 peratus manakala bahagian dapur sebanyak 50 peratus. Anggota bomba mengambil masa selama dua minit untuk memadam sepenuhnya kebakaran," katanya.

Katanya, ketika kejadian tiada sesiapa di dalam rumah dan mangsa bersama beberapa pekerja turut cuba memadam kebakaran sementara menunggu bantuan tiba.

"Mangsa keluar rumah untuk ke pejabat pada 3.10 petang sebelum pekerjanya memberitahu keretanya yang diletakkan di bahagian garaj bersebelahan dapur terbakar pada 3.40 petang.

"Mereka cuba memadam kebakaran, namun gagal kerana api marak dan menyambar ke bahagian dapur," katanya.

Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 8:59 PM