Hadzlihady Hassan


Georgetown: Datuk Seri dan anak lelakinya bergelar Datuk yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal tanah membabitkan Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Bhd dibebaskan dengan ikat jamin, hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Majistret Ahmad Tajudin Zain di hospital swasta di sini, yang membenarkan dua beranak terbabit diikat jamin RM100,000 setiap seorang dengan dua penjamin.

Datuk Seri berusia 74 tahun itu dimasukkan ke hospital swasta sejak Jumaat lalu kerana darah tinggi manakala anak lelakinya berusia 47 tahun ditahan di lokap sejak Rabu lalu.

Selasa lalu, dua beranak terbabit ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung skandal tanah membabitkan Yayasan Bumiputera Pulau Pinang Berhad.

Bagaimanapun, tempoh tahanan reman selama enam hari buat mereka tamat hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 1:24 PM