Phee selepas makkamah membenarkan permohonan semakan tempoh reman. FOTO Mikail Ong
Phee selepas makkamah membenarkan permohonan semakan tempoh reman. FOTO Mikail Ong
Hadzlihady Hassan


MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang hari ini, membenarkan permohonan semakan untuk membatalkan tempoh reman lima hari terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh bersama pengurus dan pengarah kilang haram yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown, Sabtu lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memutuskan keputusan terbabit selepas mempertimbangkan hujah pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam tertuduh.

Bagaimanapun hakim membenarkan pihak SPRM untuk memohon semula perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri manakala Phee diwakili peguam Ramkarpal Singh, R S N Rayer dan Dev Kumareandran.

Ahad lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak permohonan semakan untuk membatalkan tempoh reman lima hari ke atas Phee yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown.

Semakan bagi membatalkan tempoh reman dibuat selepas peguam Exco itu berpendapat keputusan reman yang dibuat Timbalan Pendaftar Mahkamah Georgetown, Ameera Mastura Khamis tidak teratur dan tidak sah kerana keputusan dibuat tanpa mendengar hujah peguam.

Jumaat lalu, Phee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu bersama dua beranak yang juga pengarah dan pengurus kilang itu ditahan SPRM bagi membantu siasatan terhadap operasi kilang haram di tanah pertanian di Sungai Lembu, Penanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 4:46 PM