Bangkok: Seramai 79 orang maut dalam kemalangan jalan raya di Thailand pada hari ketiga cuti perayaan Songkran kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 167 orang.

Sebanyak 748 kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negara kelmarin dalam tempoh yang dianggap ‘tujuh hari paling bahaya’ itu.

Menteri Pelancongan dan Sukan, Kobkarn Wattanavrangkul berkata, seramai 79 maut dan 752 lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara kelmarin.

Wilayah Chiang Mai dan Udon Thani merekodkan jumlah kemalangan paling banyak iaitu masing-masing 33 kes.

Sakon Nakhon dan Bangkok pula mencatatkan jumlah kematian paling tinggi dengan masing-masing lima kematian.

“Jumlah ini menjadikan keseluruhan kematian kepada 167 orang dan 1,795 cedera daripada 1,743 kemalangan jalan raya dalam tempoh tiga hari.

“Memandu dalam keadaan mabuk menjadi punca utama kematian diikuti dengan memandu laju,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, jumlah kematian itu bagaimanapun lebih rendah sebanyak 14 orang atau 181 kematian yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 8:49 AM