BERNAMA

Bangkok: Panggilan untuk mewakili skuad kebangsaan adalah suatu penghormatan dan wajar dipenuhi setiap pemain, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata sesiapa saja pemain yang dipanggil untuk mewakili negara perlu menganggapnya sebagai satu penghormatan tertinggi.

“Apabila terima panggilan untuk mewakili negara, wajar untuk sesiapa yang menerima (panggilan itu) supaya memenuhi permintaan pasukan kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Larian Baton Bangkit Bersama di Stadium Tertutup Huamark di sini, semalam.

Beliau ditanya hasrat empat tonggak utama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang mahu kembali menyarung jersi kebangsaan berikutan perubahan tampuk kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

Empat tonggak utama kelab itu - Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S Kunanlan dan Mohd Amirulhadi Zainal - sebelum ini mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan pada Julai 2016.

Sebagai rekod, bekas pengendali Johor DT Mario Gomez dilantik sebagai jurulatih kebangsaan bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee, baru-baru ini.

Mengenai tindakan empat pemain berkenaan mengumumkan persaraan daripada menyarung jersi kebangsaan tahun lalu, Khairy enggan memberi komen mengenai keputusan mereka itu.

Dalam pada itu, larian baton berkenaan adalah bersempena Sukan SEA 2017 dari 19 hingga 31 Ogos dan Sukan Para ASEAN Ke-9 di Kuala Lumpur pada 17 hingga 23 September.

Selepas Thailand, larian baton itu akan diadakan di Vietnam dan Timor Leste bulan ini.

Menteri Sukan dan Pelancongan Thailand Kobkarn Wattanavrangkul serta Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain turut hadir pada majlis perlepasan larian baton berkenaan sejauh 24km.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:11 AM