GAMBAR fail menunjukkan pasukan penyelamat memeriksa dua kenderaan selepas kemalangan di wilayah Chonburi yang menyebabkan 25 orang mati pada 2 Januari lalu.  - EPA
GAMBAR fail menunjukkan pasukan penyelamat memeriksa dua kenderaan selepas kemalangan di wilayah Chonburi yang menyebabkan 25 orang mati pada 2 Januari lalu. - EPA

Bangkok: Lebih 400 orang terkorban dalam kemalangan jalan raya sepanjang cuti Tahun Baru di Thailand, meningkat mendadak berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Jabatan Pengangkutan Darat memberitahu, seramai 426 orang maut dalam 3,327 kemalangan jalan raya dari 29 Disember hingga 3 Januari lalu, meningkat sebanyak 340 kematian berbanding tahun sebelumnya.

Cuti Tahun Baru selama tujuh hari itu sering mencatatkan jumlah kemalangan yang tinggi sehingga digelar ‘Tujuh Hari Paling Bahaya’.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2015, kadar kematian jalan raya di Thailand adalah yang tertinggi di dunia selain Libya yang terjejas akibat peperangan.

Walaupun kerajaan Thailand meningkatkan kempen keselamatan selain mengetatkan undang-undang jalan raya, jumlah kematian terus meningkat setiap tahun.

Pada Isnin lalu sahaja, 25 orang maut selepas sebuah van dan trak pikap yang sarat dengan penumpang bertembung sebelum terbakar.

“Malangnya, jumlah kematian terus meningkat walaupun pelbagai kempen dan usaha oleh kerajaan,” kata jurucakap kerajaan, Weerachon Sukondhapatipak.

Antara punca utama kemalangan jalan raya di negara itu ialah tabiat memandu laju dan memandu dalam keadaan mabuk. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 9:48 AM