Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Proton Wira. - Foto Ihsan Bomba
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Proton Wira. - Foto Ihsan Bomba

Farah Suhaidah

Ipoh : Wanita warga Vietnam maut manakala tiga lagi wanita parah selepas kereta dinaiki dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Burung Merak, Sungai Senam, di sini pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 5.29 pagi itu, mangsa yang maut adalah seorang daripada penumpang di tempat duduk belakang kereta Proton Wira manakala tiga lagi wanita yang cedera berusia antara 20 hingga 26 tahun dalam kenderaan sama.

Pemandu Proton Wira seorang lelaki berusia 20an dan lelaki pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mazda berusia 30an tidak cedera.

Difahamkan kejadian berlaku apabila kereta Proton Wira yang berada di laluan utama dirempuh dari belakang kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah Jalan Wu Lean Teh menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh Mohd Fauzi Abd Aziz berkata, seramai 12 pegawai dan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada jam 5.29 pagi.

Beliau berkata, setibanya jentera dan anggota di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kereta dinaiki lima mangsa terjunam ke dalam longkang berhampiran.

Katanya, sebaik tiba bomba mendapati empat penumpang di dalam kereta berkenaan tersepit manakala pemandunya seorang lelaki selamat selepas keluar dengan sendiri daripada kenderaan.

"Anggota bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa namun seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan berikutan kecederaan parah yang dialami," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

Katanya, tiga yang parah dihantar hospital sama untuk menerima rawatan dan operasi tamat pada jam 6.21 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 10:48 AM