Pangkalan Bun: Pasukan penyelam kedua akan menggantikan penyelam yang menyertai operasi mencari di Selat Karimata sejak Ahad lalu.

Pasukan berkenaan yang sedang dalam perjalanan ke lokasi dengan KRI Banda Aceh sudah mebnyiapkan segala kelengkapan menyelam.

Taklimat ringkas juga diberikan untuk mengatur strategi dan teknik menyelam di mana KRI Banda Aceh berlepas dari pelabuhan Tanjung Mas, Semarang Jawa Tengah pada malam Isnin dan dijangka tiba di lokasi pada Selasa.

"Alhamdulillah, keadaan ombak baik, saya yakin ia tidak mengganggu semangat penyelam untuk bertugas," kata Wakil Komandan KRI Banda Aceh, Priyo Dwi Saputro.

Pasukan pertama terdiri dari 17 orang penyelam yang bertugas melakukan pemantauan, menjumpai bangkai pesawat, dan memasang jalur serta tanda untuk penyelam berikutnya, juga 17 orang, turun ke dasar laut.

Sebelum ini, belum ada laporan mengenai hasil operasi menyelam pasukan pertama dan ia akan diteruskan pasukan kedua, termasuk mencari bangkai pesawat.

Jika bangkai pesawat sudah dijumpai dan jalur sudah dipasang, pasukan kedua akan bertugas melakukan pemindahan jenazah dan juga kotak hitam pesawat.

"Yang penting mereka (pasukan pertama) perlu diganti segera kerana sudah keletihan selepas beberapa hari menyelam," kata Priyo sambil menambah sebelum ini, kesemua 57 orang berada di KRI Banda Aceh. - Kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 12:57 PM