Kalimantan Tengah: Pasukan penyelam tentera laut Indonesia menemui kotak, topeng oksigen, bagasi penumpang, kasut dan dinding dari bahagian ekor pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, semalam.

Memetik portal Kompas.com, objek berkenaan kemudian dihantar ke Kapal Perang Republik Indonesia (KRI) Banda Aceh .

Komandan Angkatan Laut Abdul Rasyied berkata, objek berkenaan ditemui di bahagian ekor pesawat.

“Kotak yang ditemui pula tertera tulisan ‘AirAsia.com’ dan ‘Crew Water’ di bahagian atasnya. Di dalamnya terdapat dua botol air mineral yang juga tertulis ‘AirAsia’.

“Terdapat serpihan yang ditemui iaitu kayu berukuran satu meter panjang dan satu meter lebar dilapisi cat putih yang sudah menggelupas. Serpihan ini dipercayai bahagian kabin pesawat yang biasa digunakan untuk meletakkan barangan penumpang,” katanya.

Katanya, tiga objek berkenaan kemudian dibawa ke KRI Banda Aceh sebelum pasukan penyelam menghentikan operasi seketika akibat cuaca buruk dan arus deras.

“Kita baru menemui objek ini, operasi terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 7:21 AM