SINGLE duet terbaru ajak pendengar bersikap positif apabila ditimpa masalah.
SINGLE duet terbaru ajak pendengar bersikap positif apabila ditimpa masalah.
Najiy Jefri


Nama Kaka Azraff tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air. Dia antara penyanyi yang berani menongkah arus hadir dengan muzik baru dan segar.

Selepas meraih gelaran naib juara program realiti Duo Star bersama Awi Rafael, Kaka tampil dengan single duet berjudul Ada Jalannya.

Ditanya mengenai single terbaru lirik ditulis Puteri Cahaya, Kaka berkata ia bukan mengenai kisah percintaan tetapi mengajak pendengar untuk yakin dan percaya dengan apa yang berlaku dalam kehidupan.

“Lagu ini cukup bermakna kerana boleh dikaitkan dengan sesiapa sahaja. Kita sedia maklum semua orang pernah ditimpa masalah.

“Lagu ini dapat memberi inspirasi sekali gus menyuntik kekuatan kepada kita untuk sedar bahawa setiap apa yang berlaku pasti ada jalan penyelesaiannya,” kata Kaka.

Tambah Kaka, Ada Jalannya cukup dekat dengan hatinya kerana ada kaitan dengan perjalanannya dalam Duo Star.

“Dalam pertandingan ini, saya dan Awi berada di tangga kedua paling bawah setiap minggu.

“Berkat kesabaran, kami berjaya meraih gelaran naib juara. Secara tidak langsung lagu ini menggambarkan jatuh bangun kami,” katanya.

Menurut Kaka lagi, dia tiada masalah bekerjasama dengan Awi meskipun berbeza pengaruh muzik.

“Tak pernah terfikir saya berpeluang berduet dengan Awie. Maklumkan genre muzik kami berbeza.

“Apabila idea untuk berduet itu diketengahkan, tak sangka pula muzik kami boleh bersatu dan serasi.

“Saya teruja dapat bekerjasama dengan penyanyi muda yang komited,” katanya.

Perkembangan lain, Kaka bakal muncul dengan single terbaru selain menyiapkan album yang dijangka siap sepenuhnya Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 2:25 AM