ERNIE Zakri. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
ERNIE Zakri. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Najiy Jefri


Eksplorasi seni penyanyi bersuara lunak Ernie Zakri semakin membuahkan hasil. Jika lapan tahun lalu dia seakan-akan dipandang sepi, kini tuah mula berpihak kepadanya apabila lagu Jangan Marah ciptaan DJ Fuzz menjadi siulan ramai.

Lebih mengujakan, sejak pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri ini menyertai pertandingan Duo Star bersama Syamel dan tampil dengan lagu duet Aku Cinta, dia terus bersinar dan disayangi peminat.

Mengimbas kembali kembara seninya, juara Bintang RTM 2009 itu sukar mendaki tangga populariti. Meskipun pernah terdetik di hati untuk berundur, sukar baginya memadam rasa cinta terhadap bidang nyanyian.

Setiap kali diselubungi rasa kecewa, dia pasti mengingatkan diri supaya terus berjuang dan percaya rezeki pasti ada untuknya satu hari nanti.

“Saya hampir berputus asa. Tujuh tahun itu amat panjang dan meletihkan, namun saya percaya pasti ada satu ketika peminat akan terima saya.

“Alhamdulillah, single Jangan Marah memberi sinar baru dalam hidup saya selepas percubaan demi percubaan. Lebih membuatkan saya bersyukur apabila lagu duet bersama Syamel iaitu Aku Cinta turut mendapat tempat di hati pendengar.

“Video muzik lagu ini mencecah lebih dua juta tontonan apabila dimuat naik di laman YouTube sejak dua bulan lalu,” katanya.

Ernie mengakui Jangan Marah membuka matanya supaya lebih memahami selera pendengar.

Ernie juga tidak malu mengaku sepanjang tujuh tahun mencuba nasib, dia ego dan berpegang teguh dengan prinsip diri.

Namun, pada akhirnya dia akur pendengar lebih menyukai lagu ringkas dan mesra telinga. Sejak itu, dia banyak melakukan penyelidikan kerana tidak mahu terus berada di zon selesa.

“Sebagai seorang penyanyi, kita tidak boleh ego sebaliknya perlu memahami kehendak dan selera pendengar. Apabila cuba menongkah arus, itulah yang berlaku kepada saya.

“Saya tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak kerana ia sebenarnya berpunca daripada diri sendiri,” katanya.

Impi duet dengan Anuar dan Ziana Zain

Dalam diam, Erni menyimpan keinginan berduet dengan dua penyanyi tersohor yang juga bapa dan ibu saudaranya, Anuar serta Ziana Zain.

Namun, dia sedar dirinya belum cukup kuat untuk berdiri di sebelah dua figura hebat itu.

“Siapa yang tidak mahu berduet dengan dua penyanyi hebat ini? Masing-masing ada pencapaian membanggakan dalam industri hiburan tanah air.

“Saya masih ‘hijau’ dan belum cukup kuat untuk digandingkan dengan mereka.

“Kalau boleh saya tidak mahu dilabel menumpang populariti mereka. Anuar Zain tidak pernah menumpang populariti kakaknya. Merka berdiri dengan bakat dan usaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan sesiapa.

“Jadi, saya juga mesti berusaha keras dan terus aktif menghasilkan lagu yang boleh melonjakkan nama,” katanya.

Teroka cabang baru

Biarpun menyanyi adalah keutamaan, Ernie tidak menolak mengembangkat bakat dalam cabang seni lain.

Lulusan Persembahan Muzik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini bersedia mencuba nasib sebagai pelakon dan pengacara sekiranya diberi peluang.

“Insya-Allah jika ada yang sudi tawarkan kerja, saya akan terima. Sebelum ini pun saya pernah berlakon dalam telefilem Aidilfitri beberapa tahun lalu bersama Tomok untuk RTM.

“Walaupun lakonan ketika itu kaku, saya dapat timba sedikit pengalaman sebagai pelakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 6:06 AM