PERTAMA kali sampaikan lagu dipopularkan sendiri di pentas SAMM32.
PERTAMA kali sampaikan lagu dipopularkan sendiri di pentas SAMM32.
HM Digital

Menjadi antara penyanyi yang akan berentap di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 32 (SAMM32) memerlukan komitmen dan fokus sepenuhnya.

Bagi penyanyi, Ernie Zakri yang bakal tampil menyampaikan lagu duet berjudul Aku Cinta bersama Syamel pada minggu ketiga, dia menggalas satu lagi tanggungjawab besar iaitu sebagai guru vokal untuk beberapa penyanyi lain yang turut berentap.

“Rezeki apabila nama saya dan Syamel disenaraikan untuk kumpulan ketiga serta akan berjuang pada minggu terakhir.

“Jadi, saya ada sedikit masa untuk membantu rakan artis yang ingin belajar vokal daripada saya,” katanya.

Ditanya sama ada dia berkongsi semua ilmu dengan penyanyi lain memandangkan mereka adalah pesaingnya, ini jawapan Ernie:

“Saya berikan sama rata kepada mereka. Tidak ada istilah pesaing atau anak didik, tapi saya sekadar berkongsi pengetahuan yang ada untuk memantapkan persembahan vokal mereka,” katanya.

Ditanya sama ada dia menganggap pengetahuan vokalnya sebagai bonus dalam memastikan Aku Cinta berpeluang melangkah ke peringkat seterusnya, Ernie menganggap itu semua bergantung kepada pemilihan juri.

“Saya mungkin ada sedikit pengetahuan dan kelebihan dari sudut vokal. Tapi, perlu diingat juri menilai dari pelbagai sudut termasuk persembahan,” katanya.

Diminta berkongsi perasaannya apabila pertama kali berpeluang mempersembahkan lagu nyanyiannya sendiri di pentas SAMM32, Ernie nyata teruja.

“Selepas tujuh tahun bergelar penyanyi, ini pertama kali naik ke pentas SAMM untuk menyampaikan lagu yang saya popularkan.

“Sebelum ini, saya sekadar menggantikan rakan, Tasha Manshahar. Jadi, perasaannya berbeza dan saya sangat teruja walaupun ada sedikit rasa tertekan,” katanya.

Syamel bantu lonjak nama

Walaupun sudah bergelar senior dalam industri, ia sama sekali tidak membuatkan penyanyi berusia 25 tahun ini mendongak ke langit sebaliknya dia sedar kedudukannya dalam industri.

“Tidak dinafikan Syamel sedikit sebanyak membantu menaikkan nama saya. Selepas berduet dengan Syamel menerusi program Duo Star, ramai mula sedar kewujudan saya dalam industri.

“Dia adalah penyanyi dan figura yang hebat. Namanya sudah kukuh dan syukur saya dipertemukan dengannya serta berpeluang berkolaborasi,” katanya.

Pernah berputus asa, Ernie juga menganggap kemunculan single Jangan Marah turut membantu menaikkan semula namanya.

“Tujuh tahun lalu, orang tak pandang pun saya. Saya bersyukur kerana penantian selama ini membuahkan hasil.

“Lagu Jangan Marah turut membuka laluan kepada saya untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Meskipun ditawarkan berlakon dan mengacara, penyanyi kecil molek ini lebih cenderung fokus terhadap dunia nyanyian memandangkan itulah kekuatannya. -Syafil Syazwan Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 5:47 AM