KAKA Azraff. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
KAKA Azraff. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Najiy Jefri

Kaka Azraff berharap penantian untuk tampil dengan album penuh pertama selepas tujuh tahun bakal berakhir awal tahun depan.

Meskipun ia tempoh yang panjang, penyanyi yang kini popular dengan lagu Sibuk ini tidak pernah berasa kecewa malah sentiasa percaya rezeki akan datang pada waktu yang tepat.

“Jika tiada aral melintang, album saya akan siap sepenuhnya awal tahun depan. Setakat ini kami masih mencari material sesuai untuk dimuatkan dalam album berkenaan.

“Sebenarnya saya tak sabar melihat hasilnya memandangkan ini ‘first baby’ selepas tujuh tahun berada dalam industri seni.

“Walaupun terpaksa menunggu, saya sentiasa optimis dan tidak pernah berasa kecewa. Bagi saya, setiap artis ada perjalanan seni berbeza.

“Saya tidak melihat tujuh tahun sebagai satu tempoh lama kerana percaya kalau Allah nak beri sesuatu mesti pada waktu yang tepat,” katanya.

Menurut Kaka, album terbabit dibuat khas bagi menghargai peminat yang masih bertahan sehingga hari ini.

Kongsinya lagi, album terbabit akan mengandungi tujuh lagu baru yang konsepnya sama seperti Sibuk.

“Saya pilih lagu baru kerana mahu beritahu peminat ini Kaka yang baru. Peminat boleh kenal saya lebih dekat menerusi album ini sebab semua lagu berkaitan dengan saya.

“Lagu itu menceritakan kehidupan saya sepanjang bergelar penyanyi,” katanya.

Ditanya mengenai sisi peribadi, Kaka berkata dia tidak pernah tertekan belum bertemu jodoh meski usia sudah menjangkau 29 tahun.

Kaka berkata, jadual kerja yang padat membuatkan dia tidak punya masa untuk berfikir soal pasangan.

“Walaupun hampir dua tahun hidup solo saya tidak pernah tertekan dengan keadaan itu kerana sibuk dengan rutin kerja sebagai penyanyi dan pelakon.

“Kalau ada kekasih atau sudah sampai seru berkahwin, saya akan kongsi berita ini dengan semua. Namun, setakat ini belum ada cerita baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 9:22 AM