KHIDMAT Rashid (kiri), Seu Bock diperlukan untuk melatih pemain tempatan.
KHIDMAT Rashid (kiri), Seu Bock diperlukan untuk melatih pemain tempatan.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Permulaan sukar tetapi perlu diteruskan, itulah nasihat bekas pemain negara, Muhammad Hafiz Hashim kepada jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika kontrak mereka diteruskan dan bekerja di bawah Pengarah Teknikal baru, Morten Frost Hansen (gambar) Mac ini.

Kata Hafiz, sekarang ini terpulang kepada individu dan baginya wajar buat jurulatih yang ada meneruskan perkhidmatan mereka, andai kata Frost serta BAM bersetuju mengekalkan mereka.

“Bekerja di bawah Frost mungkin permulaan yang sukar tapi mereka mungkin boleh melakukan sesuatu. Siapa lagi yang mahu membantu pemain negara kalau bukan jurulatih tempatan,” katanya semalam.

Hari ini pengurusan BAM akan berbincang dengan jurulatih termasuk Rashid Sidek mengenai kontrak mereka yang dilanjutkan buat sementara hingga hujung Mac.

“Hanya jurulatih tempatan yang faham dengan pemain. Soal politik dalaman sudah pasti sukar untuk reda. Pandai-pandailah berdiri di mana mereka harus berdiri.

“Apa yang penting meningkatkan mutu permainan pemain. Soal kontrak mereka dilanjutkan buat sementara saya rasa tidak wajar, sekurang-kurangnya ia perlu disambung untuk tempoh setahun lagi,” katanya.

Beberapa kontrak jurulatih di bawah badan induk itu, termasuk Rashid, Tey Seu Bock, Pang Cheh Chang dan Rosman Razak berakhir 31 Disember lalu namun BAM mengambil keputusan untuk melanjutkan dalam tempoh sementara hingga hujung Mac bagi memberi peluang buat Frost menilai sama ada khidmat mereka diperlukan atau tidak.

“Kalau jurulatih sedia ada digugurkan, siapa yang akan menjadi pengganti? Adakah jurulatih baru dapat menaikkan mutu badminton negara,” kata bekas juara Seluruh England itu.

Pelbagai reaksi diterima mengenai tindakan BAM itu, yang perlu menunggu kehadiran Frost untuk membuat keputusan muktamad mengenai kontrak jurulatih.

Bekas pengarah kejurulatihan yang pernah berkhidmat di BAM dari 1997 hingga 2000 itu dijangka tiba dan memulakan tugas awal Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:29 AM