Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Morten Forst Hansen akan memulakan tugas secara rasmi sebagai Pengarah Teknikal Isnin depan.

Pengurus Besar BAM Kenny Goh berkata, satu pertemuan antara Frost dengan jurulatih dan pemain akan diadakan pada hari pertama beliau memulakan tugasnya.

”Dia akan memulakan tugas pada 2 Mac (Isnin) tapi akan tiba di Malaysia Jumaat ini. Kami akan mengatur pertemuan antara Frost dan pemain serta jurulatih Isnin ini,” katanya.

Jelasnya, semua pemain dan jurulatih diharap dapat memberi kerjasama dengan Frost bagi mempertingkatkan sukan badminton negara.

BAM bakal memberikan tanggungjawab kepada bekas jaguh perseorangan Denmark berkenaan untuk menjadikan Malaysia antara tiga negara kuasa besar badminton menjelang 2020.

Pencapaian itu menjadi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan BAM untuk Frost dan beliau diberi kebebasan untuk memilih jurulatih dan pemain diperlukan.

Kontrak lanjutan kepada beberapa jurulatih utama yang tamat Disember tahun lalu bertujuan membolehkan Frost membuat keputusan sama ada khidmat mereka masih diperlukan atau sebaliknya.

Jurulatih berkenaan ialah Rashid Sidek, Tey Seu Bock, Wong Tat Meng, Rosman Razak, Pang Cheh Chang dan Jeremy Gan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:14 AM