Norasikin Daineh


Kota Kinabalu: Pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan Filipina berhubung urusan membawa pulang dua tebusan yang diselamatkan dari tawanan culik Abu Sayyaf, awal pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, pihaknya sudah menghubungi pasukan keselamatan Filipina untuk tujuan itu.

“Bukit Aman sedang berhubung dengan pihak Filipina dan tarikh pulang masih belum ditetapkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, usaha menyelamatkan tiga lagi mangsa masih diteruskan.

Terdahulu, dua rakyat Malaysia Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63, diselamatkan Angkatan Tentera Filipina (AFP) awal pagi semalam.

Manakala tiga lagi mangsa Mohd Jumadil Rahim, 24, Fandy Bakran, 27, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33; masih dalam tawanan Abu Sayyaf.

Pada 18 Julai lalu, kelima-lima mangsa diculik kumpulan Abu Sayyaf sebelum kapal tunda Serudong 3 yang mereka naiki ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di perairan Dent Heaven, Lahad Datu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 4:47 PM