BOT tunda yang ditemui tanpa kru bot di Dent Heaven, Lahad Datu.
BOT tunda yang ditemui tanpa kru bot di Dent Heaven, Lahad Datu.
RASHID (tengah) dalam sidang media di IPD Lahad Datu.
RASHID (tengah) dalam sidang media di IPD Lahad Datu.
Junaidi Ladjana


Lahad Datu: Polis Sabah tidak menolak kemungkinan lima warga Malaysia yang hilang dari bot tunda di perairan Dent Heaven Lahad Datu, semalam, diculik.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun berkata, lima mangsa iaitu Abd Rahim Summas, 62, dari Tawau; Tayudin Anjut, 45, (Tawau); Mohd Ridzuan Ismail, 32, (Jengka, Pahang); Mohd Jumadil Rahim, 23, (Tawau) dan Fandy Bakran, 26, (Tawau), bekerja sebagai kru bot tunda syarikat milik tempatan beroperasi di Tawau.

"Pada Ahad lalu, kira-kira 8 pagi, dua bot tunda Serudong 3 dan 4 yang dinaiki lima mangsa ini dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Semporna yang dijangka tiba kira-kira 5 petang, semalam.

"Bagaimanapun, 2 petang semalam, bot tunda yang dalam perjalanan dari Jeroco Kinabatangan menuju ke Tawau ternampak Serudong 3 dan 4 terkandas di perairan Dean Heaven, Lahad Datu tanpa kru selain enjin hidup.

"Kapten bot tunda kemudian memaklumkan kepada pemilik bot tunda Serudong 3 dan 4 sebelum Pasukan Polis Marin (PPM) dikerah ke lokasi kejadian. Pemeriksaan mendapati tiada seorang kru berada di atas bot tunda berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu (IPD) Lahad Datu, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa diculik.

"Sehingga kini, polis belum menerima panggilan telefon untuk meminta wang tebusan daripada mana-mana individu," katanya.

Kes ini adalah yang terbaru selepas tiga warga Indonesia diculik di perairan Lahad Datu, berhampiran Kampung Sinakut, pada 9 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 2:07 PM