Gambar yang diserahkan kepada media hari ini, oleh Pemerintah Tentera Barat Mindanao Filipina (WESMINCOM) menunjukkan dua rakyat Malaysia yang diculik Abu Sayyaf tahun lalu, selepas diselamatkan dekat Kepulauan Sulu. - Foto  WESMINCOM via AFP
Gambar yang diserahkan kepada media hari ini, oleh Pemerintah Tentera Barat Mindanao Filipina (WESMINCOM) menunjukkan dua rakyat Malaysia yang diculik Abu Sayyaf tahun lalu, selepas diselamatkan dekat Kepulauan Sulu. - Foto WESMINCOM via AFP
Norasikin Daineh


Kota Kinabalu: Dua daripada lima tebusan rakyat Malaysia yang diculik di perairan Dent Heaven, Lahad Datu, Julai lalu, diselamatkan tentera Filipina, hari ini.

Inquirer.net melaporkan, tentera Filipina menyelamatkan dua rakyat Malaysia yang ditahan Abu Sayyaf itu, dikenali sebagai Abdul Rahim Summas, 63 dan Tayudin Anjut, 46.

Akhbar itu melaporkan tiga lagi yang masih ditahan Abu Sayyaf ialah Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33.

Associated Press melaporkan, dua tebusan itu ditemui dalam keadaan tidak sihat dan lemah di perairan Pulau Pata, Sulu, sebelum Subuh hari ini.

Pemerintah tentera wilayah, Mejar Jeneral Carlito G Galvez, berkata mereka dibawa ke hospital tentera untuk pemeriksaan dan rawatan.

Difahamkan, kedua-dua mereka ditinggalkan penculik yang melarikan diri selepas mendapati bot pasukan peronda Marin menghampiri mereka.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang berhubung dengan pasukan keselamatan Filipina mengenai perkara itu.

"Setakat ini saya belum terima apa-apa maklumat," katanya.

Keluarga mangsa juga setakat ini belum menerima maklumat berhubung pembebasan dua daripada lima mangsa terbabit.

Dalam kejadian 18 Julai lalu, lima mangsa dilarikan kumpulan Abu Sayyaf selepas kapal tunda Serudong 3 yang mereka naiki, ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di perairan Dent Heaven.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 1:56 PM