Garapan yang baik, cerita menarik, barisan pelakon hebat serta promosi adalah resipi yang menjanjikan filem ditayangkan di pawagam mendapat sambutan.

Selama ini ramai mengatakan masyarakat kita tidak mahu ke panggung menonton filem Melayu kerana banyak faktor termasuk kualiti filem dan diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi semasa termasuk harga tiket mahal ditambah pula dengan bayaran GST.

Apabila sebut kualiti filem Melayu, rata-rata filem yang dihidangkan di pasaran akhir-akhir ini masih berkisar cerita sama dengan genre yang biasa seperti komedi dan seram, hingga membuatkan penonton bosan. Kesannya, kebanyakan filem ditayangkan sepanjang tahun ini mencatat kutipan yang sangat rendah hingga ada yang hanya meraih RM11,000.

Hanya beberapa filem yang mendapat pulangan lebih RM1 juta iaitu yang disifatkan sesuatu yang baru dan segar.

Filem Polis Evo yang ditayangkan di pawagam sejak 17 September lalu, paling dinanti-nantikan penggiat filem. Bukan hanya kerana mereka tidak sabar menyaksikan filem dihasilkan anak tempatan dengan bajet besar bersama elemen disifatkan setaraf filem antarabangsa, malah filem arahan Ghaz Abu Bakar itu dilihat sebagai penanda aras pada masa depan industri filem Melayu.

Jika Polis Evo dihasilkan dengan elemen yang cukup rempah-ratusnya sebagaimana diinginkan penonton tetapi masih gagal menarik penonton ke panggung, bermakna masa depan industri filem bukan saja terus gelap malah mati terkubur.

Ternyata Polis Evo dijayakan Shaheizy Sam, Zizan Razak, Nora Danish, Wan Hanafi Su, Pablo Amirul, Amerul Affendi dan Harun Salim Bachik berjaya mendapat sambutan dengan kutipan lebih RM2.5 juta dalam masa empat hari pertama tayangan.

Kejayaan Polis Evo bukan hanya kerana produk bagus malah bersama strategi promosi yang dirangka dari awal. Pembikinannya bukan hanya serius sebelum penggambaran (praproduksi) dan pascaproduksi, malah selepas itu dengan perancangan teliti untuk jaringan promosi sebelum ditayangkan.

Selama ini penggiat filem tempatan tidak menitikberatkan perkara ini (promosi) malah disifatkan sekadar melepaskan batok di tangga dengan hanya majlis previu untuk media, seminggu sebelum tayangan.

Seharusnya promosi menjadi antara keutamaan penggiat filem ketika merancang menghasilkan filem. Berapa kos untuk pra-produksi, pasca produksi hinggalah promosi.

Sebaliknya selalu yang berlaku ialah apabila filem siap, produser mengatakan tiada bajet untuk promosi hingga dilakukan ala kadar saja. Mereka terlalu berkira untuk membeli iklan di media cetak dan media elektronik, cukup sekadar majlis previu dengan ulasan di akhbar selepas itu.

Malah ada yang bergantung hanya pada promo di media sosial. Memanglah respons di media sosial pantas tetapi ia kurang membantu kalau sekadar mendapat banyak ‘like’ atau jumlah tontonan tinggi bagi treler filem tetapi apabila ditayangkan, mereka tidak berduyun-duyun ke panggung menontonnya.

Mungkin juga produser tidak mahu melakukan usaha lebih untuk mempromosi filemnya kerana ‘takut’ dengan kualiti filem dihasilkan dan tidak yakin ia berupaya menarik penonton ke panggung.

Ini berlaku bagi mereka yang menghasilkan filem tangkap muat dan tidak bersungguh-sungguh dari segi kualiti. Mereka juga tidak kesah jika filem itu tidak mendapat sambutan kerana kos pembikinannya adalah daripada bantuan kerajaan dan mereka mendapat sedikit keuntungan dari awal lagi.

Dalam urusan promosi, menyedihkan apabila ada filem dihasilkan dengan bajet besar tetapi tiada peruntukan promosi, sebaliknya masih berharap wang bantuan kerajaan untuk promosi. Sampai kini filem itu masih terperap kerana gagal mendapat peruntukan tambahan diminta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:02 AM